SHAH ALAM, 25 OGOS: Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) menyita lima premis kantin di tapak projek sekitar Mukim Dengkil selepas didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
Tindakan itu dilaksanakan Unit Khas Jabatan Penguatkuasaan MP Sepang menerusi Operasi Tindakan Penguatkuasaan dan Pengauditan (TABAS) pada 20 Ogos lalu.
“Operasi ini dijalankan bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis kantin di tapak projek,” kata MP Sepang menerusi Facebook.
Menurutnya, operasi berkenaan turut dilaksanakan bagi memastikan setiap premis mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Ini juga memastikan pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, termasuk aspek pelesenan dan pematuhan terhadap undang-undang berkuat kuasa,” katanya.
Hasil operasi mendapati lima premis kantin di beberapa lokasi sekitar Mukim Dengkil dikenakan tindakan sitaan.
Antara lokasi terbabit ialah Desa Putra, Sungai Merab, kawasan pembangunan Southville City serta beberapa lot di Mukim Dengkil.
MP Sepang memaklumkan lima notis kompaun dikeluarkan, selain lima tindakan sitaan dan lima inventori direkodkan sepanjang operasi.
“Tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut peruntukan tiga, Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MP Sepang) 2007 yang memperuntukkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.
MP Sepang menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan serta tidak menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah.









