SUKMA Selangor 2026 cipta rekod, lahir bintang baharu negara

25 Ogos 2026, 4:30 AM
SUKMA Selangor 2026 cipta rekod, lahir bintang baharu negara
SUKMA Selangor 2026 cipta rekod, lahir bintang baharu negara
SUKMA Selangor 2026 cipta rekod, lahir bintang baharu negara
SUKMA Selangor 2026 cipta rekod, lahir bintang baharu negara
SUKMA Selangor 2026 cipta rekod, lahir bintang baharu negara

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 melabuhkan tirai dengan pelbagai pencapaian menarik terutamanya dari segi peningkatan prestasi atlet apabila sejumlah rekod temasya dan kebangsaan berjaya diperbaharui sepanjang 10 hari saingan.

Temasya edisi ke-22 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos itu menyaksikan penyertaan atlet dari seluruh negara dalam 37 jenis sukan dan 368 acara, sekali gus menjadi platform penting untuk menilai perkembangan bakat muda negara.

Olahraga muncul sebagai sukan paling menyerlah dengan beberapa rekod lama berjaya dipadamkan.

Antara pemenang yang menonjol ialah pelari pecut Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, memecahkan rekod temasya dalam acara 200 meter (m) lelaki dengan catatan 20.85 saat (s), serta menyumbang kepada kemenangan kuartet Johor dalam acara 4x100m lelaki dan mendominasi 100m.

Prestasi itu melengkapkan pungutan tiga pingat emas dan menjadikannya antara bintang pecut paling menyerlah di SUKMA Selangor.

Selain itu, beberapa rekod lain juga diperbaharui dalam acara seperti 110m lari berpagar lelaki, lontar peluru wanita, 10,000m wanita, 20,000m jalan kaki wanita serta 4x100m lelaki.

Di kolam renang, Eliza Tan Ai Shen dari Selangor telah memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m gaya bebas wanita sebanyak dua kali sebelum mencatat rekod baharu 56.78s.

Catatan itu turut menyaksikan beliau muncul perenang wanita Malaysia pertama mencatat masa di bawah 57 saat dalam acara berkenaan, selain merangkul pingat emas 200m gaya bebas wanita dengan catatan 2:05.26s.

Eliza turut memperbaharui rekod temasya dalam acara 50m gaya bebas, 4x100m gaya bebas, 4x200m gaya bebas dan 4x100m rampaian, sekali gus dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik SUKMA 2026.

Penembak Pahang, Cheah Zen Hong yang merangkul sembilan pingat emas dan satu perak, selain memecahkan dua rekod temasya dalam acara 10m Air Pistol dan 25m Sport Pistol pula mengesahkan kehebatannya untuk muncul Atlet Lelaki Terbaik SUKMA 2026.

Acara berbasikal trek turut menyumbang satu lagi detik penting apabila kuartet wanita Terengganu memperbaharui rekod kebangsaan acara kejar-mengejar berpasukan dengan catatan 4:42.878s.

Catatan mereka berjaya diperbaiki pada peringkat kelayakan (4:46.824s) sebelum menghasilkan catatan lebih pantas pada final, sekali gus membuktikan peningkatan ketara tahap prestasi atlet berbasikal trek negara.

Jika rekod temasya dilihat sebagai ukuran peningkatan prestasi di peringkat SUKMA, memecahkan rekod kebangsaan pula memberikan gambaran lebih besar mengenai potensi atlet untuk melangkah ke pentas lebih tinggi.

Pencapaian tersebut menunjukkan perkembangan positif bakat muda di peringkat negeri, sekali gus memberi petanda yang baik terhadap kemampuan mereka untuk menggalas cabaran Malaysia di pentas Sukan SEA, Sukan Asia dan kejohanan antarabangsa.

Selamat tinggal Selangor, jumpa di Kelantan pada 2028.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.