
SHAH ALAM, 25 OGOS: Kejayaan Kontinjen Selangor melepasi angka 100 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dianggap pencapaian luar biasa yang bakal menjadi aras baharu untuk dicabar kontinjen lain pada edisi akan datang.
Selangor menamatkan saingan sebagai juara keseluruhan dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, sekali gus mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negeri itu di temasya berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad berkata pencapaian berkenaan membuktikan atlet Selangor berjaya meletakkan satu tahap baharu yang perlu diatasi kontinjen lain.
"Tahniah buat semua atlet. Ini adalah tahap yang orang nak 'unlock' ke tahap yang lebih tinggi.

"Selamat maju jaya buat semua dan juga untuk industri sukan negara ini.
"Syukur kita melepasi sasaran kita dan sebagai anak Selangor yang lahir dan membesar di sini, saya sangat bangga dengan kejayaan ini," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutupan rasmi SUKMA 2026, sambil turut menzahirkan rasa bangga melihat perjuangan atlet Selangor yang berjaya mengharumkan nama negeri di pentas kebangsaan.
Selangor sebelum ini meletakkan sasaran awal untuk meraih 80 pingat emas, namun prestasi konsisten atlet sepanjang temasya membolehkan sasaran itu dilepasi dengan margin besar.
Sukan renang menjadi penyumbang emas terbesar apabila menyumbang 20 daripada keseluruhan 41 pingat emas yang dipertandingkan, sekali gus menjadi antara faktor utama kejayaan Selangor muncul juara keseluruhan.
Pencapaian 101 emas itu bukan sahaja melengkapkan kejayaan Selangor sebagai tuan rumah, malah menetapkan penanda aras baharu yang pastinya mencetuskan cabaran besar kepada kontinjen lain pada SUKMA akan datang.








