MPS tubuh pasukan khas tangani peniaga warga asing di Selayang

24 Ogos 2026, 9:00 AM
MPS tubuh pasukan khas tangani peniaga warga asing di Selayang

SELAYANG, 24 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan di sekitar Pasar Borong Selayang, termasuk usaha membangunkan semula kawasan berkenaan.

Yang Dipertuanya, Shahman Jalaludin berkata pasukan petugas khas diterajui Timbalan Yang Dipertua MPS, Az’har Samsuri, dengan fokus antara lain menutup ruang yang membolehkan aktiviti perniagaan tidak berlesen terus beroperasi di kawasan berkenaan.

“Pendatang tanpa izin ini dah isunya sudah lama, bukan baru sekarang wujud. Isu utama dia daripada warga Myanmar yang tidak boleh dihantar pulang. Macam warga asing lain bila ditangkap mereka boleh dihantar pulang, jadi selesai.

“Pasukan petugas khas ini tempohnya hingga hujung tahun ini. Kita cuba untuk menutup ruang pekerjaan mereka, kawasan yang mereka selalu berniaga.

“Kita nak ubah tempat itu menjadi total satu tempat yang lain supaya mereka tidak boleh berniaga di situ sebab kita punya harapan bila tiada ruang untuk mereka berniaga, tak adalah mereka akan ada di situ.

“Itu kita punya harapan untuk mengubah persepsi orang terhadap Pasar Borong Selayang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPS Bil.8/2026 di sini, hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shahman Jalaludin ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis (MPS Bil.8/2026 di Bangunan MPS, Selayang pada 24 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Katanya, turut bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandangkan kawasan Pasar Borong Selayang berhampiran sempadan Kuala Lumpur.

“Yang ini memang kita kena libatkan DBKL sebab situ ada dia punya sempadan dengan KL. Sebenarnya selama ini pun kita ada beberapa kali mesyuarat.

“Cuma nanti kena kerjasama contohnya untuk perancangan design, pengindahan dan sebagainya Kita kena selaraskan supaya dia bersambung dan dapat mencapai objektif,” katanya.

Tegasnya, MPS akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan yang melanggar syarat ditetapkan namun ia terhad hanya kepada bidang kuasanya.

“Ia sebenarnya melibatkan agensi di peringkat persekutuan juga. Kami ini hanyalah PBT, yang kuasa lebih kepada lesen perniagaan. Tapi isu yang lebih besar ialah pendatang tanpa izin itu sebenarnya dan kalau dapat dikeluarkan terus itu alhamdulillah. Maknanya mereka itu terus tiada di Selayang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MPS turut menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu pembuangan sampah haram di sekitar Sungai Pusu, khususnya kawasan Kampung Sungai Pusu.

“Yang ini pun selalu kita dapat maklumat berkenaan dengan pembuangan sampah haram di kawasan Kampung Sungai Pusu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shahman Jalaludin (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis MPS Bil.8/2026 di Bangunan MPS, Selayang pada 24 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Jadi task force ini mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut secara lebih menyeluruh, termasuk mengenal pasti punca dan langkah yang boleh diambil bagi memastikan isu itu tidak terus berulang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kawasan sekitar pasar borong itu terus menjadi tumpuan warga pelarian Rohingya dengan cara menjaja di kaki lima walaupun sudah berkali-kali diserbu pihak berkuasa.

Antara barangan yang diniagakan ialah sayur-sayuran, buah-buahan dan seperti lazimnya kedai sirih dan restoran menyajikan makanan serta manisan dari negara asal mereka.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.