Lima lelaki ditahan kes merusuh bersenjata di Pandamaran

24 Ogos 2026, 7:01 AM
Lima lelaki ditahan kes merusuh bersenjata di Pandamaran

SHAH ALAM, 24 OGOS: Lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes merusuh dengan senjata dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran, Klang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, dua mangsa warga tempatan berusia antara 22 hingga 26 tahun dipukul oleh beberapa suspek.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian muka dan hidung sebelum menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

"Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan lima suspek warga tempatan berusia antara 18 hingga 25 tahun, semalam.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dengan senjata.

"Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap semua suspek dibuat di Mahkamah Majistret Klang dan dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Ogos bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Amirul Asyraf Salim di talian 010-3381645 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman dari papan pemuka sebuah kenderaan yang menunjukkan sekumpulan individu bergaduh menggunakan senjata.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.