Kes dua penunggang basikal maut dilanggar: Polis semak semula CCTV

24 Ogos 2026, 4:17 AM
Kes dua penunggang basikal maut dilanggar: Polis semak semula CCTV

SHAH ALAM, 24 OGOS: Polis akan membuat semakan semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian bagi membantu siasatan kemalangan membabitkan dua lelaki berbasikal yang maut selepas dilanggar kereta di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan, Putrajaya, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, berkata pegawai penyiasat akan ke Putrajaya Command Centre (PCC) Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini untuk menyemak rakaman berkenaan, lapor Berita Harian.

Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan pengesahan lanjut perlu dibuat menerusi rakaman CCTV.

"Pegawai penyiasat akan ke PCC PPj untuk semakan semula rakaman CCTV di kawasan kejadian hari ini bagi tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, polis turut sudah merakam empat keterangan individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Ia membabitkan dua waris, seorang pemandu kereta dan seorang kontraktor jalan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis sudah merakam keterangan pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan berkenaan, namun lelaki berusia 40-an itu tidak ditahan.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam itu, Mohd Hilmi Tahar, 48, dan Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, maut di lokasi kejadian.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.