PUTRAJAYA, 24 OGOS: Seramai 1,500 pelajar membabitkan 36 sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bakal mempersembahkan 16 lagu dalam bentuk formasi manusia bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya.
Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia Ithnin Mahadi berkata persembahan itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu lagu patriotik, etnik, kenegerian dan Gen Z, sekali gus memberikan kelainan dari segi genre serta pendekatan persembahan.
“Sejak Julai lepas, pasukan ini mula latihan secara berasingan di sekolah masing-masing sebelum digabungkan di lokasi persembahan,” katanya kepada media, di sini hari ini.
Ithinin berkata latihan kini memasuki fasa akhir di tapak sambutan, bagi memastikan pergerakan, formasi dan koordinasi pelajar berjalan lancar.

Beliau berkata antara tarikan utama persembahan tahun ini ialah elemen gendangan menerusi gabungan gerak tangan kreatif, paluan kompang dan persembahan gendangan oleh peserta pelbagai kaum.
“Rentak berbeza disatukan dalam satu irama sebagai simbol masyarakat Malaysia yang pelbagai budaya dan tradisi, namun mampu bergerak sebagai satu kesatuan.
“Persembahan turut berselang-seli dengan grafik perkataan dan imej yang membawa mesej perpaduan, keharmonian serta kehidupan bersama, selari dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati,” katanya.
Ithnin berkata formasi manusia di padang menggambarkan Malaysia bersatu dalam kepelbagaian, dengan setiap etnik mengekalkan identiti dan warisan tersendiri sekali gus memaparkan Malaysia yang harmoni, inklusif dan sejahtera.










