SHAH ALAM, 24 OGOS: Bangunan Maahad Tahfiz Bestari Pulau Besar, Melaka yang menempatkan pejabat dan stor terbakar malam tadi, dengan kira-kira 80 peratus strukturnya musnah.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pasukan bomba terpaksa menggunakan bot bagi membawa anggota dan peralatan pemadaman dari Jeti Anjung Batu ke Pulau Besar untuk menjalankan operasi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dengan bantuan BBP Melaka Tengah bergerak ke lokasi menggunakan bot Kevlar 08 selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 malam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan bangunan berkeluasan 30 x 40 kaki yang menempatkan stor dan pejabat maahad berkenaan.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah kira-kira 80 peratus. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Tinggi I Bukari Rajab, membabitkan 10 anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta bot Kevlar.
Katanya, bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 1.20 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 2.25 pagi.







