Empat emas pacu keyakinan Cadence terus cemerlang di pentas SUKMA

23 Ogos 2026, 3:13 PM
Empat emas pacu keyakinan Cadence terus cemerlang di pentas SUKMA
Empat emas pacu keyakinan Cadence terus cemerlang di pentas SUKMA

BANGI, 23 OGOS: Empat pingat emas yang diraih sepanjang saingan gimnastik artistik SUKMA Selangor 2026 meningkatkan keyakinan atlet negeri, Cadence Teh Zi Qi untuk terus memberikan aksi terbaik.

Cadence berkata kejayaan itu cukup bermakna selepas segala usaha dan latihan membuahkan hasil, sekali gus membolehkannya menyumbang pingat buat Selangor.

“Saya rasa sangat gembira dan bangga kerana dapat menyumbang kepada Selangor dan saya juga sangat gembira kerana sudah memberikan yang terbaik.

“Saya sangat bersyukur dan gembira dapat memenangi begitu banyak pingat dan saya juga ingin berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana sentiasa menyokong saya,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Menurutnya, kejayaan itu turut meningkatkan keyakinan terutama dalam acara batang titian selepas aksinya semakin stabil dan konsisten.

Cadence menjalani latihan enam hari seminggu, kira-kira lima jam sehari, dengan Ahad sebagai hari rehat.

Katanya, pengurusan masa penting bagi memastikan latihan dan persekolahan dapat diseimbangkan.

“Saya cuma menggunakan masa dengan sebaiknya dan melakukan apa yang termampu,” katanya.

Terdahulu, Cadence menghadiahkan pingat emas buat Selangor dalam acara Gimnastik Artistik Individu Batang Titian Wanita selepas mencatat 13.000 mata dalam saingan yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Cadence mengumpul 5.600 mata bagi aspek kesukaran dan 7.400 mata bagi pelaksanaan untuk muncul juara.

Dalam saingan Gimnastik Artistik Individu Senam Lantai Wanita sebelum ini, Cadence turut menyumbang pingat gangsa selepas mengumpul 11.333 mata.

Empat emas yang dikumpul Cadence iaitu menerusi acara Individu Palang Tidak Selari Wanita, Individu Keseluruhan Wanita, Gimnastik Artistik Berpasukan Wanita dan Individu Batang Titian Wanita, sekali gus menjadikannya antara penyumbang utama emas Selangor dalam gimnastik artistik.

Koleksi berkenaan menjadikan Cadence antara penyumbang utama pingat buat kontinjen Selangor dalam acara gimnastik artistik pada temasya kali ini.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.