
SHAH ALAM, 23 OGOS: Kepercayaan antara satu sama lain pemain serta persiapan selama dua tahun menjadi antara kunci kejayaan Selangor mempertahankan kejuaraan acara bola tampar dewan lelaki pada temasya SUKMA Selangor 2026 di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, hari ini.
Kapten bola tampar dewan Selangor, Ho Kwan Ming berkata kejayaan itu hasil daripada komitmen pasukan yang menjalani latihan secara konsisten selama dua tahun, termasuk sesi latihan dari pagi hingga malam setiap minggu.
“Kami sudah berlatih selama dua tahun, setiap hari minggu dari pagi hingga malam dan saya rasa kami memang layak untuk mendapat tempat pertama.
“Rakan sepasukan mempercayai saya sebagai kapten dan kami juga saling mempercayai antara satu sama lain.
Memang ada tekanan apabila berdepan pasukan yang kuat, tetapi selepas bermain dengan pasukan seperti itu, kami menjadi lebih yakin,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, ibu bapa serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan kepercayaan dan sokongan kepada pasukan.
Sementara itu, jurulatih Selangor, Shamsaimon Mohd Sharit berkata kejayaan tersebut sememangnya menjadi sasaran pasukan selepas mereka turut muncul juara pada edisi SUKMA dua tahun lalu di SUKMA Sarawak 2024.
Katanya, persiapan menghadapi kejohanan kali ini dilakukan sejak lebih setahun lalu dengan pemain diberikan pendedahan menerusi beberapa perlawanan sebagai persediaan.
“Dua tahun lepas di Sarawak, kami juga muncul juara dan kali ini kami berjaya mempertahankan kejuaraan.
Apabila melihat pemain beraksi, saya rasa mereka memang betul-betul bersemangat untuk melawan, apa yang kami latih, mereka dapat terapkan dalam permainan dan sepanjang perjuangan,” katanya.
Menurut Shamsaimon, majoriti pemain utama pasukan turut mempunyai pengalaman di peringkat kebangsaan, selain terdapat pemain yang pernah beraksi bersama negeri lain, sekali gus membantu memperkukuhkan skuad Selangor.

Dalam aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor menewaskan Wilayah Persekutuan 3-0 untuk mengesahkan kejuaraan.
Selangor membuka tirai permainan dengan kemenangan 25-22 pada set pertama sebelum meneruskan momentum pada set kedua dengan keputusan 25-19.
Skuad tuan rumah kemudian mengekalkan penguasaan pada set ketiga apabila sekali lagi mencatat kemenangan 25-19 untuk melengkapkan kemenangan 3-0.
Kejayaan itu menyumbang pingat emas buat kontinjen Selangor sekali gus menambah koleksi pingat skuad tuan rumah pada temasya SUKMA Selangor 2026.
Sebagai rekod, Selangor turut muncul juara acara bola tampar dewan lelaki pada SUKMA Sarawak 2024, menjadikan kejayaan kali ini sebagai kejuaraan kedua berturut-turut bagi skuad berkenaan.









