Bantahan diterima, Selangor bertemu Sarawak di final ragbi wanita

23 Ogos 2026, 8:16 AM
Bantahan diterima, Selangor bertemu Sarawak di final ragbi wanita

SHAH ALAM, 23 OGOS: Selangor bakal berdepan Sarawak pada final ragbi wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas keputusan Jawatankuasa Bantahan menyaksikan perubahan lawan bagi aksi penentuan pingat emas, hari ini.

Perubahan itu berlaku selepas Sarawak mengemukakan bantahan terhadap Terengganu susulan dakwaan pasukan berkenaan menurunkan pemain yang tidak didaftarkan ketika aksi separuh akhir.

Mengikut keputusan asal, Selangor dijadual bertemu Terengganu yang menewaskan Sarawak dalam saingan separuh akhir.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Bantahan Pertandingan Acara Ragbi 7s SUKMA Selangor 2026 yang bersidang pada jam 11.40 pagi tadi menerima bantahan berkenaan.

Menerusi keputusan rasmi yang diedarkan kepada semua pasukan, Sarawak diberikan kemenangan 20-0 ke atas Terengganu, sekali gus mara ke perlawanan akhir Cup Wanita bagi perebutan pingat emas.

Pasukan ragbi wanita Terengganu terlepas slot ke final selepas bantahan Sarawak diterima Jawatankuasa Bantahan. Foto FIRDAUS JOHARI/MEDIA SELANGOR

“Setelah meneliti bantahan serta perkara-perkara yang berkaitan, Jawatankuasa Bantahan telah sebulat suara menerima bantahan tersebut,” menurut kenyataan rasmi Ketua Delegasi Teknikal Sukan Ragbi SUKMA 2026.

Terengganu bagaimanapun dibenarkan meneruskan saingan dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Keputusan itu menyaksikan Selangor dan Sarawak kembali bertemu di pentas final selepas kedua-dua pasukan berentap dalam aksi penentuan emas pada SUKMA 2024 di Miri.

Selangor memasuki final kali ini dengan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu.

Pertembungan itu dijangka berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan sudah mengetahui kekuatan serta corak permainan masing-masing hasil pertemuan pada temasya terdahulu.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.