EXCO: Selangor pertimbang cuti peristiwa jika juara keseluruhan SUKMA 2026

23 Ogos 2026, 7:35 AM
EXCO: Selangor pertimbang cuti peristiwa jika juara keseluruhan SUKMA 2026
EXCO: Selangor pertimbang cuti peristiwa jika juara keseluruhan SUKMA 2026

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan pemberian cuti peristiwa sekiranya kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berakhir esok.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata perkara itu akan diusulkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai penghargaan kepada rakyat negeri ini yang memberi sokongan sepanjang temasya dwitahunan berkenaan.

“Bagaimanapun perkara ini hanya akan dimaklumkan selepas kiraan pingat dimuktamadkan. Seandainya kita muncul juara keseluruhan, mungkin boleh dipertimbangkan untuk berikan cuti.

“Insentif untuk para atlet pula akan digerakkan selepas SUKMA ini selesai,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan kutipan pingat kontinjen Selangor di sini, hari ini.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi bersama barisan pengurusan kontinjen Selangor mengikuti aksi pasukan e-sukan negeri di bilik gerakan SUKMA Selangor 2026. Foto Facebook MSNS

Mohd Najwan berkata setakat jam 3 petang, Selangor berjaya mengutip 85 pingat emas dengan sumbangan terbaharu menerusi acara berpasukan wanita e-sukan, terjun 3 meter papan anjal wanita, ping pong perseorangan wanita dan boling padang perseorangan lelaki.

“Berbaki sehari setengah ini, kita harap semua atlet kekal fokus dan memberi aksi terbaik supaya mampu menyumbang lebih banyak pingat emas dan kita jadi juara keseluruhan,” katanya.

SUKMA ke-22 mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan di 52 venue merentasi sembilan daerah sepanjang temasya berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos.

Para SUKMA pula dijadual berlangsung dari 5 hingga 14 September melibatkan 369 acara daripada 10 jenis sukan termasuk renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang dan memanah.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.