SHAH ALAM, 29 JAN: Seramai 18 individu ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di sekitar daerah Petaling pada 27 Januari lalu kerana pelbagai kesalahan imigresen.
Menurut JIM Selangor, operasi itu dijalankan melalui empat tugasan khas iaitu OPS MINYAK, OPS SELERA, OPS BELANJA dan OPS SAPU membabitkan 16 pegawai penguat kuasa.
Tindakan dibuat berdasarkan maklumat dan aduan yang diterima melalui emel, Pusat Bilik Operasi (PBO), aduan orang awam, serta saluran dalaman jabatan.
Lapan lokasi terlibat termasuk bengkel kenderaan, restoran, premis makanan, kedai gunting rambut serta premis perniagaan di kawasan tersebut.
"Seramai 20 individu diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 18 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," menurut agensi itu.
Di Seri Kembangan, sebuah bengkel kenderaan diperiksa dan dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Sementara itu di Cheras, sebuah premis perniagaan makanan diperiksa dan empat wanita warga Indonesia ditahan atas kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah serta melanggar syarat pas.
Di Petaling Jaya, pemeriksaan ke atas sebuah restoran membawa kepada penahanan dua lelaki warga Indonesia kerana tidak memiliki pas yang sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Pemeriksaan di sebuah lagi bengkel kenderaan di kawasan sama turut membawa kepada penahanan dua lelaki warga Indonesia kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Selain itu, sebuah premis perkhidmatan di Petaling Jaya turut diperiksa dan dua lelaki warga Indonesia ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Di Shah Alam pula, sebuah restoran diperiksa dan empat warga Nepal, terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki, ditahan kerana tidak memiliki pas yang sah, melanggar syarat pas serta melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam operasi sama, sebanyak lima saman saksi dikeluarkan dan tiga majikan dikenal pasti bagi membantu siasatan. Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara," katanya menerusi kenyataan sama.
Dalam pada itu, JIM Selangor menasihatkan orang ramai supaya tidak melindungi atau menggajikan PATI, selain tidak terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai imigresen.
"Semua urusan berkaitan imigresen dibuat melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia," tegas JIM Selangor.


