
SERI KEMBANGAN, 23 OGOS: Atlet Selangor, Kiranjenifeer Danchill menyifatkan kejayaan meraih pingat gangsa pada temasya SUKMA Selangor 2026 sebagai penebusan selepas kecederaan yang dialami pada SUKMA Sarawak 2024.
Kiranjenifeer berkata, kecederaan tersebut menyebabkan dia tidak dapat meneruskan saingan ketika itu sekali gus menjadikan kejayaan kali ini cukup bermakna buat dirinya.
“Bagi saya, ini adalah satu penebusan sebab pada 2024 saya mengalami kecederaan dan tidak dapat meneruskan saingan.
“Jadi, saya bersyukur dapat kembali bertanding dan menghadiahkan pingat buat Selangor kali ini,” katanya.
Kiranjenifeer turut mendedikasikan kejayaan itu kepada jurulatih serta ibu bapanya yang tidak putus-putus memberikan sokongan.
“Saya dedikasikan pingat ini kepada jurulatih dan ibu bapa saya sebab mereka sentiasa ada dan beri sokongan kepada saya,” katanya.
Dalam saingan silambam Thanithiramai Stick Individu Wanita semalam, Kiranjenifeer mengutip 8.467 mata untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dan membawa pulang pingat gangsa.
Dua atlet lain daripada Pulau Pinang dan Perak berada di kedudukan pertama selepas mengutip jumlah mata yang sama untuk masing-masing meraih pingat emas.








