
SHAH ALAM, 22 OGOS: Perenang Selangor, Yuan Yi Chong meneruskan momentum kilauan emas buat kontinjen tuan rumah apabila muncul juara acara 400 meter gaya bebas wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, hari ini.
Yuan Yi yang mengungguli saringan kedua pada sebelah pagi tampil lebih bertenaga dalam saingan final yang berlangsung di Pusat Akuatik Selangor, petang ini untuk menghadiahkan satu lagi emas buat Selangor.
Beliau mencatat masa 4:29.70s untuk meraih emas, pingat perak milik Kelly Yao Teo dari Sarawak yang mencatat 4:33.52s manakala perenang Pulau Pinang, Rui Nee Tan membawa pulang gangsa dengan catatan masa 4:34.06s.
Kejayaan Yuan Yi terus menambah kilauan emas buat skuad renang Selangor yang tampil cemerlang dalam saingan SUKMA kali ini.







