Futsal wanita Selangor juara SUKMA

21 Ogos 2026, 2:35 PM
Futsal wanita Selangor juara SUKMA

SHAH ALAM, 21 OGOS: Riak wajah bangga dan puas jelas terpancar pada barisan pemain serta jurulatih futsal wanita Selangor selepas mereka menamatkan kempen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan pingat emas di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam, hari ini.

Selangor menewaskan Wilayah Persekutuan 5-0 dalam aksi final untuk kembali bergelar juara futsal wanita SUKMA selepas kali terakhir merangkul kejuaraan itu 15 tahun lalu.

Kejayaan tersebut turut melengkapkan dominasi Selangor dalam acara futsal selepas skuad lelaki terlebih dahulu meraih emas menerusi kemenangan dalam aksi final di venue sama pada Khamis.

Jurulatih skuad wanita Selangor, Mohd Fairuz Mohd Noor menyifatkan kejayaan muncul juara di laman sendiri sebagai pengalaman yang cukup istimewa, terutama apabila disaksikan penyokong sendiri.

“Satu perasaan yang sukar digambarkan apabila memenangi emas di negeri sendiri. Rasa puas hati yang teramat sangat terutamanya di hadapan penyokong sendiri yang sentiasa berada di belakang kami.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong kami dan pingat emas ini saya tujukan buat Selangor,” katanya kepada Media Selangor.

Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan Kontinjen Selangor menyapu bersih kedua-dua pingat emas futsal lelaki dan wanita pada SUKMA 2026.

Pencapaian berkenaan turut mengukuhkan penguasaan Selangor dalam sukan futsal pada temasya kali ini, selain menjadi suntikan semangat buat kontinjen negeri untuk meneruskan pemburuan pingat dalam acara lain yang masih berlangsung.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.