Buru ikan baung ekor merah, lindungi ekosistem Sungai Bernam

22 Ogos 2026, 1:00 AM
Buru ikan baung ekor merah, lindungi ekosistem Sungai Bernam
Buru ikan baung ekor merah, lindungi ekosistem Sungai Bernam

HULU SELANGOR, 22 OGOS: Nelayan darat giat memburu ikan baung ekor merah (BEM) yang boleh mencapai berat sehingga 31 kilogram seekor bagi mengawal ancaman spesies asing itu terhadap ekosistem dan populasi ikan tempatan di Sungai Bernam.

Usaha berkenaan dilaksanakan menerusi Program Mitigasi Ikan Baung Ekor Merah MyKomuniti Perikanan Sungai Karang di Ibu Empangan Sungai Bernam, membabitkan kira-kira 20 nelayan darat yang juga ahli MyKomuniti Perikanan Sungai Karang.

Timbalan Pengarah Perikanan Selangor, Ahmad Redzuan Ramli, berkata penemuan BEM bersaiz luar biasa itu membimbangkan kerana spesies berkenaan berpotensi mengganggu keseimbangan ekosistem sungai serta menjejaskan populasi ikan asli.

Katanya, hasil tangkapan menerusi program berkenaan menunjukkan BEM yang didaratkan mempunyai berat sekitar sembilan kilogram, manakala saiz terbesar yang direkodkan mencecah 31 kilogram seekor.

Timbalan Pengarah Perikanan Selangor, Ahmad Redzuan Ramli

“Bila kita tengok secara berhadapan, memang ia merupakan satu perkara yang agak mengejutkan apabila spesies yang sebesar itu boleh berada di dalam perairan sungai kita.

“Ia merupakan ancaman kepada spesies tempatan, termasuk benih-benih ikan kecil dan ikan asli di perairan kita,” katanya.

Menurut Ahmad Redzuan, BEM boleh mengancam populasi ikan tempatan kerana telur, benih dan ikan bersaiz kecil menjadi antara sumber makanannya.

Katanya, keadaan itu berpotensi menjejaskan kelangsungan spesies asli yang terdapat di Sungai Bernam sekiranya populasi BEM tidak dikawal.

Beliau berkata, Program Mitigasi Ikan Baung Ekor Merah yang dilaksanakan bersama MyKomuniti Perikanan Sungai Karang itu merupakan kali kedua di lokasi berkenaan dan akan diteruskan secara berperingkat dengan penglibatan nelayan darat serta komuniti perikanan.

“Program mitigasi ini merupakan kali kedua dilaksanakan di sini dan usaha ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi mengawal ancaman terhadap spesies ikan tempatan seperti baung kuning, lampan ekor merah, belida, tengalan, selais, sebarau dan kelah,” katanya.

Dalam program sama, Jabatan Perikanan turut melaksanakan usaha pemuliharaan perairan umum menerusi pelepasan 20,000 benih ikan baung kuning ke Sungai Bernam bagi meningkatkan populasi spesies tempatan.

Langkah itu bukan sahaja bertujuan mengawal populasi BEM, malah memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti sungai serta memastikan spesies ikan asli terus berkembang biak demi kelangsungan ekosistem dan sumber pendapatan komuniti nelayan darat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.