
SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan Selangor sedang berbincang dengan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berhubung cadangan menyiarkan secara langsung perlawanan akhir bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu sedang diselaraskan EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi sebagai langkah mengelakkan kesesakan penonton di stadium.
“Saya sedang minta kepada Menteri Komunikasi supaya pertandingan akhir bola sepak dapat disiarkan langsung esok. YB Najwan sedang berurusan. Hopefully kita ada siaran langsung yang ditayangkan di mana-mana siaran untuk pertandingan bola sepak kerana permintaan dia juga sangat tinggi.
“Saya nak minta disiarkan di televisyen untuk siaran langsung. Kalau itu dapat berlaku saya rasa lebih ramai sebab saiz di stadium dalam 15,000 ke 16,000 sahaja.
“Kalau ikut pengalaman di Selayang, kehadiran sangat bagus hampir 9,000 ke 10,000 orang. Saya tidak pernah tengok kehadiran begitu ramai sebelum ini… dengan adanya Selangor mara ke final menjadi tarikan besar perlawanan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program sarapan bersama Ketua Kontinjen SUKMA 2026 di sini hari ini.
Selangor bakal berentap dengan Johor bagi acara bola sepak esok di Stadium MBPJ bagi merebut pingat emas. Selangor layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Pahang 4-0.
Berhubung kekecohan perlawanan akhir futsal semalam di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam, Amirudin memaklumkan kejadian berlaku disebabkan kapasiti kompleks tidak dapat menampung jumlah penonton yang ramai.
“Itu disebabkan oleh limpahan penyokong-penyokong yang ramai dan itu memang saiz maksimum yang kita ada.
“Mungkin hari ini kita kena tengok kalau tak ada kita terpaksa pasang skrin di luar untuk galakkan dan juga permintaan,” ujarnya.







