SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memecahkan tiga tanjakan yang dibina tanpa kebenaran dalam Operasi Pecah Tanjakan membabitkan empat premis di Seksyen 7, semalam.
Satu lagi premis mengambil tindakan memecahkan sendiri tanjakan berkenaan susulan operasi tersebut.
MBSA memaklumkan tiga notis bernilai RM2,500 serta tiga kompaun penguatkuasaan turut dikeluarkan terhadap premis terlibat.
“Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan premis di Seksyen 7 terus mematuhi peraturan berkaitan penggunaan petak tempat letak kereta awam,” menurut kenyataan di Facebook.
Operasi diketuai Penolong Akauntan merangkap Ketua Unit Tempat Letak Kereta MBSA, Mohd Tarmizi Md Ismail dengan penglibatan Jabatan Kewangan (Seksyen Hasil), Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam serta Jabatan Penguatkuasaan.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan premis terus mematuhi peraturan dan kemudahan awam tidak disalah guna,” tegas MBSA.









