Deruman enjin Formula 1 pernah menggegarkan Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) dan meletakkan Malaysia sebaris dengan negara penganjur perlumbaan paling berprestij itu.
Hampir dua dekad, litar di Selangor itu menjadi tumpuan ratusan ribu peminat dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan aksi pelumba terbaik dunia.
Michael Schumacher, Lewis Hamilton, Fernando Alonso dan Max Verstappen antara nama besar yang pernah mencipta detik tersendiri di SIC, litar yang terkenal dengan cuaca tropika serta reka bentuknya yang mencabar.
Bagi peminat sukan permotoran, SIC bukan sekadar gelanggang perlumbaan. Di sinilah lahir pelbagai detik yang masih dikenang sehingga ke hari ini.
Selepas kali terakhir menganjurkan Grand Prix Malaysia pada 2017, litar itu kembali menjadi tumpuan apabila Formula 1 dijadual kembali ke Sepang pada Oktober 2026.
Kepulangannya bukan sahaja menghidupkan semula nostalgia, malah merancakkan pelancongan, ekonomi dan mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi sukan rantau ini.
Kejayaan itu tidak berlaku sekelip mata. Di sebaliknya, tersimpan kisah bagaimana ia mengubah landskap sukan permotoran negara, antara simbol kemajuan Malaysia di pentas dunia.

Taruhan
Pada penghujung 1990-an, Formula 1 sinonim dengan litar-litar ikonik di Eropah seperti Silverstone di Britain, Monza di Itali dan Spa-Francorchamps di Belgium.
Justeru, tidak ramai menyangka Malaysia berani memasang impian untuk menyertai kelompok eksklusif negara penganjur perlumbaan paling terkemuka di serata dunia.
Keputusan membina SIC bukan semata-mata memenuhi impian memiliki sebuah litar moden, sebaliknya sebahagian strategi pembangunan negara yang lebih besar.
Hasrat itu muncul ketika Malaysia giat melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya dan Koridor Raya Multimedia (MSC).
Pembinaan SIC menjadi bukti betapa Malaysia mampu membangunkan kemudahan sukan bertaraf tinggi dan menganjurkan acara yang selama ini didominasi negara maju.
SIC disifatkan peluang untuk Malaysia mempamer keupayaan menganjurkan acara bertaraf dunia, selepas kejayaan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Dalam ucapan perasmian, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengimbau bagaimana ladang kelapa sawit bertukar menjadi litar moden dalam tempoh kurang dua tahun.
Keyakinan itu bukan tanpa asas. SIC dibina mengikut piawaian tertinggi Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan siap dalam masa 14 bulan.
Malah, litar berkenaan diberi penghormatan menggunakan logo rasmi Formula 1 pada namanya, pengiktirafan yang ketika itu tidak diberi kepada mana-mana litar lain.
Kurang setahun selepas perasmian, pertaruhan itu membuahkan hasil apabila Malaysia dipilih menganjurkan Grand Prix Formula 1 buat pertama kali pada 17 Oktober 1999.
Dari situlah bermulanya hubungan hampir dua dekad antara SIC dan Formula 1, yang akhirnya mengangkat nama Sepang sebagai antara litar paling dikenali dalam kalendar perlumbaan tersebut.

Manusia dan mesin
Tidak mengambil masa lama untuk SIC memikat hati Formula 1. Sebaik sahaja Grand Prix Malaysia diperkenal pada 1999, litar itu mendapat reputasi antara medan paling mencabar dalam perlumbaan.
Cabarannya bukan terletak pada kelajuan semata-mata. Bahang panas pada tengah hari boleh melonjakkan suhu di dalam kokpit mencecah lebih 50 darjah Celsius.
Belum sempat pelumba menyesuaikan diri, hujan tropika pula boleh turun dalam beberapa minit seterusnya mengubah keseluruhan strategi perlumbaan.
SIC direka arkitek Jerman Hermann Tilke, yang kemudian muncul sebagai antara nama paling berpengaruh dalam pembinaan litar Formula 1 moden.
Sepang merupakan projek Formula 1 pertama beliau, sebelum menghasilkan litar di Bahrain, Shanghai, Abu Dhabi dan Singapura.
Dengan panjang 5.543km dan 15 selekoh, SIC menawarkan hampir semua cabaran yang diingini dalam perlumbaan. Laluan lurus yang panjang membuka ruang memotong, manakala selekoh berkelajuan tinggi pula menuntut ketepatan dan keberanian pelumba.
Tidak hairanlah ramai juara dunia menganggap Sepang sebagai antara litar yang benar-benar menguji kemampuan manusia dan mesin.
Bekas juara dunia Lewis Hamilton pernah menyifatkan perlumbaan di Malaysia antara paling mencabar dari segi fizikal, manakala beberapa pelumba lain mengakui faktor cuaca sering menjadi "lawan" yang sukar diramal.

Lembaran baharu
Apabila bendera penamat dikibar pada Grand Prix Malaysia 2017, ramai menyangka Formula 1 akan kembali pada musim berikutnya. Sebaliknya, ia menjadi penutup kepada kegemilangan hampir dua dekad.
Keputusan tersebut mengecewakan ramai, namun realitinya penganjuran itu bukan lagi semudah ketika ia mula diperkenal pada penghujung 1990-an. Kos naik saban tahun, sedangkan bilangan penonton bukan lagi seperti era kegemilangannya pada awal 2000-an.
Ketika mengumumkan penamatan Grand Prix Malaysia pada 2016, SIC menjelaskan pulangan daripada penganjuran Formula 1 tidak lagi seiring kos yang perlu ditanggung setiap tahun.
Tumpuan beralih kepada acara lain seperti MotoGP, perlumbaan ketahanan dan pembangunan sukan permotoran tempatan yang dilihat lebih mampan dalam jangka panjang.
Walaupun Formula 1 tidak lagi singgah di Sepang selepas 2017, SIC tidak pernah sepi. Litar itu terus menjadi tuan rumah pelbagai kejohanan antarabangsa, medan ujian pengeluar automotif dan lokasi latihan pasukan perlumbaan.
Namun, selepas hampir sedekad, Formula 1 dijadual kembali bergema di SIC pada 24 hingga 26 Oktober 2026 apabila Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Grand Prix Bahrain yang dipindah susulan situasi geopolitik di Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan FIA tidak mengenakan sebarang bayaran kepada Malaysia bagi penganjuran pada Oktober ini. Sebaliknya, perbelanjaan hanya untuk membaiki trek SIC dengan jangkaan kos kira-kira RM10 hingga RM16 juta.
"Alhamdulillah (penganjuran) ini setelah belasan tahun. Dulu kosnya ratusan juta masa kita anjurkan tahun 2017. Hari ini, kita anjur tanpa membayar kos pendaftaran kepada syarikat dan percuma," katanya.
Bagi Selangor, kepulangan Formula 1 membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah perlumbaan. Ia membuka peluang untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
Lebih dua dekad selepas pintunya dibuka buat kali pertama, SIC masih berdiri megah sebagai antara ikon sukan permotoran negara.
Apabila lampu hijau kembali menyala pada Oktober, yang kembali bukan sekadar Formula 1, tetapi sebuah legasi yang pernah menjulang nama negara dan Selangor ke pentas dunia.
FAKTA
Grand Prix Malaysia pertama: 17 Oktober 1999
Bilangan penganjuran: 19 edisi (1999–2017)
Panjang litar: 5.543 kilometer
Jumlah selekoh: 15
Pereka: Hermann Tilke (Jerman)
Juara terbanyak di Sepang:
Michael Schumacher (3 kali)
Sebastian Vettel (3 kali)



