SHAH ALAM, 21 OGOS: Kegiatan mencuci dan memproses pasir secara haram yang dipercayai beroperasi sejak lapan tahun lalu di Jalan Lapangan Terbang Subang Lama di sini berjaya dipatahkan dalam Op Gali Mega, semalam.
Serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu menyaksikan 12 lelaki termasuk tujuh warga asing ditahan, manakala kira-kira 1,500 tan pasir, jentera berat serta peralatan mencuci dan memproses pasir disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5 juta.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata operasi dijalankan di kawasan seluas kira-kira 0.64 hektar dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Kegiatan perlombongan secara tidak sah itu disyaki beroperasi kira-kira lapan tahun.
“Modus operandi yang dikesan ialah membawa pasir yang tidak digunakan dari luar seperti tempat pembinaan ke sini sebelum diproses semula bagi mendapatkan pasir halus.
“Pasir halus yang diproses menggunakan sumber air sungai berhampiran itu kemudian dijual semula dengan harga RM600 selori dan dikatakan sebanyak 30 hingga 60 lori akan bergerak keluar (dijual),” katanya kepada pemberita di lokasi operasi, malam tadi seperti dilapor Harian Metro.
Hakemal berkata aktiviti berkenaan turut mengakibatkan pencemaran sungai berhampiran apabila air berubah menjadi keruh akibat proses mencuci pasir.
“Kesan ketara akibat aktiviti tidak sah itu adalah pencemaran sungai yang menyebabkan air berubah menjadi keruh.
“Pengoperasian kegiatan ini dikesan berjalan pada waktu siang dan pihaknya akan menyiasat ke mana sumber penjualan pasir tersebut bagi mengetahui lebih lanjut kes berkenaan,” katanya.
Menurutnya, siasatan turut diteruskan bagi mengesan dalang kegiatan berkenaan serta mengenal pasti destinasi penjualan pasir yang diproses.
Beliau berkata lokasi berkenaan merupakan antara tujuh tempat yang digempur Briged Tengah PGA menerusi Op Gali Mega di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dengan jumlah sitaan mencecah RM13.2 juta sejak Rabu lalu.
Beliau berkata, sepanjang operasi berkenaan, seramai 31 individu diperiksa dengan 15 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Kejayaan ini hasil risikan serta pemantauan berterusan dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
“PGA secara khususnya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam. Masyarakat diseru menyalurkan maklumat sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing,” katanya.
Kes disiasat mengikut Kanun Tanah Negara 1965, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Undang-Undang Kecil 2021.







