
SHAH ALAM, 20 OGOS: Atlet renang Selangor, Eliza Ai Shen Tan meneruskan prestasi cemerlang pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas meraih dua pingat emas, termasuk membantu pasukan dalam acara berganti-ganti campuran, di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.
Eliza berkata beliau terlebih dahulu menyasarkan untuk memberikan aksi terbaik dalam sesi saringan pada sebelah pagi sebelum membawa momentum itu ke saingan final malam ini.
Katanya, catatan hampir mencecah 57 saat dalam saringan meningkatkan keyakinannya untuk memperbaiki prestasi pada peringkat final.
“Pagi ini, ketika datang ke pertandingan, saya hanya mahu memberikan yang terbaik dalam saringan dan melihat apa yang saya mampu lakukan.
“Ia membuatkan saya lebih yakin untuk final malam ini kerana saya sangat hampir mencatat 57 saat,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.
Keyakinan itu diterjemahkan Eliza dalam saingan final apabila beliau berjaya mencapai sasaran berkenaan sebelum membantu pasukan Selangor meraih emas dalam acara berganti-ganti campuran.
“Saya sangat gembira dapat melakukannya malam ini dan lebih gembira dapat memenangi emas bersama pasukan dalam acara berganti-ganti,” katanya.
Mengulas kejayaan meraih dua emas dalam tempoh sehari, atlet berusia 19 tahun itu menyifatkannya sebagai pencapaian yang amat menggembirakan.
Bagaimanapun, Eliza berkata kejayaan berkenaan tidak semestinya menjadikan dirinya lebih yakin, sebaliknya menyuntik keterujaan untuk melihat sejauh mana prestasinya mampu dipertingkatkan dalam perlumbaan seterusnya.
“Saya tidak akan kata saya lebih yakin, tetapi saya lebih teruja untuk melihat apa yang boleh saya lakukan dalam perlumbaan yang akan datang minggu ini,” katanya.
Eliza masih mempunyai beberapa acara berganti-ganti serta acara 50 meter gaya bebas yang bakal disertainya sepanjang temasya kali ini.
“Saya masih ada beberapa lagi acara berganti-ganti dan 50 meter gaya bebas. Jadi saya teruja untuk melihat sama ada saya boleh melakukan lebih baik daripada sekarang,” katanya.







