
SHAH ALAM, 21 OGOS: Atlet Selangor, Shannon Tan Yang-Qing menyifatkan kejayaan meraih dua pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sebagai pencapaian membanggakan yang meningkatkan lagi keyakinannya untuk meneruskan saingan.
Shannon berkata beliau terkejut dan gembira dengan pencapaian tersebut, selain berbangga kerana berjaya mencapai satu lagi kejayaan besar dalam temasya kali ini.
“Saya sangat terkejut dan gembira kerana memenangi dua pingat emas.
"Saya sangat bangga dengan diri kerana mencapai kejayaan besar,” katanya ketika ditemui Media Selangor selepas saingan di Pusat Akuatik Selangor semalam.
Menurut atlet muda itu, kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa sokongan pasukan, barisan jurulatih dan keluarganya.
“Saya sangat berterima kasih kepada pasukan di belakang saya yang memberikan sokongan.
“Saya tidak akan mencapai keputusan ini tanpa mereka, termasuk seluruh pasukan Selangor, jurulatih dan ibu bapa,” katanya yang meraih pingat emas acara 4x100 meter rampaian berganti-ganti campuran.
Shannon berkata kejayaan meraih emas sebelum ini turut memberikan keyakinan tambahan untuk menghadapi acara akan datang.
Katanya, pencapaian itu membuatkan beliau lebih mempercayai kemampuan diri sendiri selain meningkatkan semangat untuk memberikan aksi terbaik dalam saingan seterusnya.
“Ini membuatkan saya lebih yakin kerana ia membuatkan saya lebih mempercayai diri sendiri dan lebih bersemangat untuk acara seterusnya,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran selepas SUKMA, Shannon berkata beliau turut memasang impian untuk melangkah ke pentas antarabangsa yang lebih besar, termasuk memburu kelayakan ke Youth Olympic Game (YOG).
“Saya sebenarnya turut menyasarkan Youth Olimpic Game dan berharap dapat melayakkan diri,” katanya.
Pencapaian dua emas itu menjadi suntikan motivasi buat Shannon untuk terus meningkatkan prestasi dalam SUKMA 2026.







