Selangor tewaskan Pulau Pinang, pertahan emas badminton berpasukan wanita

20 Ogos 2026, 1:05 PM
Selangor tewaskan Pulau Pinang, pertahan emas badminton berpasukan wanita

SHAH ALAM, 20 OGOS: Pasukan tuan rumah berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara badminton berpasukan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas menewaskan Pulau Pinang 3-0 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam di sini hari ini.

Pemain perseorangan pertama Eng Ler Qi memberikan kemenangan pertama kepada Selangor apabila mengambil masa 33 minit untuk menewaskan Oo Shan Zi 21-14, 21-10.

Clarissa San-Wong Zi Yi kemudian meletakkan Selangor selesa di depan meskipun terpaksa mengharungi pertarungan selama 70 minit sebelum menewaskan gandingan Joinne Lee-Nicole Tan Pei En 27-25, 14-21, 21-16.

Pemain perseorangan kedua dan pendatang baharu berusia 18 tahun Carine Tee Xin Qi melengkapkan kemenangan Selangor selepas mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan Chong Shi Ming 21-14, 21-16.

Carine berkata meskipun berasa gementar untuk mengekalkan momentum itu, beliau berjaya mengawal emosinya untuk menamatkan perlawanan dan membantu Selangor mempertahankan pingat emas.

“Saya berasa teruja kerana dapat memenangi pingat emas untuk Selangor. Semua rakan sepasukan saya bermain dengan sangat baik dan tahniah juga kepada mereka,” katanya selepas perlawanan itu.

Pemain kelahiran Klang dan skuad remaja kebangsaan itu turut berharap kemenangan hari ini akan menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk meraih sekurang-kurangnya tempat di podium dalam acara individu yang bermula esok.

Selangor memenangi pingat emas berpasukan wanita pada edisi 2018 di Perak selepas menewaskan tuan rumah 3-1 pada perlawanan akhir.

Acara berpasukan wanita tidak dipertandingkan sejak itu dan hanya kembali dipertandingkan pada SUKMA tahun ini.

Sementara itu, Perak meraih pingat gangsa selepas menewaskan Sabah 3-1.

SUKMA Selangor 2026 yang bermula pada 15 Ogos akan berlangsung sehingga 24 Ogos.

-- BERNAMA

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.