
SUBANG JAYA, 20 OGOS: Penampilan sulung Qurratu’ Ain Izdihar Mohd Pozi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 menjadi kenangan manis apabila membantu trio boling wanita Selangor meraih pingat emas, hari ini.
Beraksi bersama Adelia Nur Irwan Syazalee dan Adania Mohd Redzwan, Qurratu’ Ain berjaya menamatkan penampilan pertamanya di pentas SUKMA dengan pencapaian cukup membanggakan.
Lebih istimewa, pingat emas itu menjadi emas SUKMA pertama dalam kariernya, sekali gus menjadikan debutnya di pentas SUKMA satu pengalaman yang sukar dilupakan.
"Alhamdulillah, syukur sangat kerana dapat pingat emas. Ini adalah pingat emas pertama Ain di SUKMA.
"Ain sangat gembira dapat sertai SUKMA kali pertama dan dapat emas. Kejayaan ini sangat bermakna dan menjadi pendorong buat Ain untuk buat lebih baik lagi," katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.
Pada masa sama, Qurratu’ Ain turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang banyak memberikan dorongan dan galakan kepadanya untuk serius menceburi sukan boling.
"Terima kasih kepada ibu bapa saya, adik-beradik, keluarga, rakan-rakan dan juga jurulatih serta pasukan boling Selangor. Tanpa sokongan anda, mungkin kejayaan ini sukar dicapai," katanya.
Trio wanita Selangor itu muncul juara dalam acara trio boling wanita yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid.
Bagi Qurratu’ Ain, kejayaan itu pastinya memberikan suntikan keyakinan untuk terus mengorak langkah dalam karier sukan boling, selain menjadi pembakar semangat untuk menghadapi cabaran dalam pertandingan seterusnya.







