
SUBANG JAYA, 20 OGOS: Trio boling wanita Selangor menepati sasaran apabila berjaya meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, hari ini.
Emas itu disumbangkan Qurratu’ Ain Izdihar Mohd Pozi, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Adania Mohd Redzwan.
Trio Selangor mengumpul 3,560 jatuhan pin untuk merangkul emas, manakala pingat perak menjadi milik trio Kedah dengan 3,516 pin.
Trio Sarawak pula membawa pulang pingat gangsa selepas mengumpul 3,449 jatuhan pin.
Kejayaan itu menyaksikan emas ketiga Selangor daripada sukan tenpin boling pada temasya SUKMA ke-22, sekali gus terus mengukuhkan pencapaian skuad boling negeri itu.
Kejayaan berkenaan juga menambah koleksi pingat emas buat kontinjen Selangor dalam temasya kali ini.







