SUKMA 2026: Selangor kandas suku akhir, tewas tipis 41-42 kepada Terengganu

20 Ogos 2026, 4:32 AM
SUKMA 2026: Selangor kandas suku akhir, tewas tipis 41-42 kepada Terengganu
SUKMA 2026: Selangor kandas suku akhir, tewas tipis 41-42 kepada Terengganu

KUALA SELANGOR, 20 OGOS: Perjalanan skuad bola jaring Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas tipis 41-42 kepada Terengganu di Stadium Tertutup Kuala Selangor, hari ini.

Aksi sengit menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sepanjang empat suku, dengan perbezaan hanya satu mata memisahkan Selangor dan Terengganu di penghujung perlawanan.

Turun dengan gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu, anak buah Puah Pei San mempamerkan aksi yang baik namun pengalaman dilihat menjadi antara faktor yang memisahkan kedua-dua pasukan.

Selangor ketinggalan 21-25 pada separuh masa sebelum kemasukan Nur Fatin Fikriyah di posisi penjaring gol (GS) pada suku ketiga mengubah corak serangan pasukan.

Bagaimanapun, kebangkitan tersebut hadir agak lewat apabila Selangor gagal mengejar sepenuhnya defisit jaringan untuk menempah tiket ke separuh akhir.

Pei San berkata, beliau tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya yang memberikan tentangan sengit sehingga ke wisel penamat.

“Pasukan kami tahu cabaran sebenar datang di peringkat suku akhir ini tetapi saya bangga dengan persembahan pemain saya yang menakjubkan.

“Kami bermula agak perlahan pada dua suku pertama dan kedua sebelum cuba bangkit pada suku ketiga dan keempat tetapi sedikit terlambat namun kami perlu bangga dengan aksi ini,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Fikriyah menganggap peluang yang diberikan kepadanya sebagai kesempatan terbaik untuk membuktikan kemampuan selepas bermula sebagai pemain simpanan.

Katanya, beliau cuba memberikan aksi terbaik sebaik diarahkan memanaskan badan dan diturunkan ke gelanggang, namun mengakui keputusan tersebut bukan rezeki buat Selangor.

“Pada awalnya saya hanya duduk di bangku simpanan tetapi kemudiannya ‘coach’ arahkan saya memanaskan badan. Saya berikan yang terbaik apabila diberikan peluang tetapi bukan rezeki kami untuk layak ke separuh akhir.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang tidak henti menyokong kami sama ada ketika kami menang atau kalah,” katanya.

Meskipun terkandas di suku akhir, Selangor menyifatkan SUKMA 2026 sebagai medan penting untuk menguji kemampuan barisan pemain baharu dan berpengalaman.

Skuad bola jaring negeri itu kini memasang tekad untuk bangkit dengan lebih kuat dan memperbaiki prestasi menjelang SUKMA 2028.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.