SUKMA 2026: Selangor juara bola sepak wanita, tewaskan Sabah 2-0

19 Ogos 2026, 2:38 PM
SUKMA 2026: Selangor juara bola sepak wanita, tewaskan Sabah 2-0

SELAYANG, 19 OGOS: Pingat emas bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 menjadi milik Selangor yang berjaya menumpaskan Sabah 2-0, malam ini.

Aksi final yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu disajikan dengan corak permainan saling menyerang kedua-dua pasukan sejak awal perlawanan.

Namun Selangor tampak lebih mendominasi permainan dengan beberapa gerakan serangan yang lebih meyakinkan.

Kira-kira 5,000 penyokong tuan rumah bersorak gembira apabila penyerang Tegen Su Yin Butler memecah kebuntuan dengan gol pendahuluan Selangor pada minit ke-42.

Gol itu terhasil daripada kesilapan pertahanan Sabah yang gagal mengawal bola dengan baik sebelum dicuri S. Tishavani yang kemudian melorongkan bola kepada Su Yin Butler.

Penyerang Selangor itu tidak mensia-siakan peluang apabila melepaskan rembatan kencang yang menerjah gawang Sabah.

Kelebihan satu gol itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Sabah yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan tampak tidak mengalah apabila mengasak kubu Selangor pada awal babak kedua.

Namun Selangor kekal tenang dan sesekali melakukan serangan balas bagi menggandakan jaringan.

Usaha Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila Su Yin Butler sekali lagi membuktikan ketajaman penyudahnya apabila dengan tenang menyudahkan hantaran silang untuk gol kedua Selangor pada minit ke-67.

Selepas itu, Selangor terus mengawal permainan bagi mengekalkan kelebihan dua gol sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan 2-0 itu telah mengesahkan Selangor sebagai juara bolasepak wanita SUKMA ke-22, manakala Sabah terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.