KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Pusat data pertama Google di Malaysia dijadual memulakan operasi dalam masa sembilan bulan, kata Prinsipal Infrastruktur Global Google Asia Pasifik, Ken Siah.
Beliau memberitahu projek pembangunan di Taman Perniagaan Elmina milik Sime Darby Property Bhd berjalan mengikut perancangan tetapi belum ada tarikh tepat untuk memulakan operasi.
“Pembangunan berjalan baik. Pembinaan juga lancar. Kerjasama dengan komuniti setempat serta kerajaan tempatan sangat bagus,” katanya kepada Media Selangor di ibu pejabat Google Malaysia di Menara Axiata.
Pada Mei 2024, Google mengumumkan pelaburan bernilai RM8.13 bilion di Malaysia, merangkumi pembangunan pusat data Google pertama dan rantau Google Cloud. Ia pelaburan terancang gergasi teknologi itu di negara ini.

Menurut Siah, pelaburan Google termasuk projek di Elmina mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus membawa limpahan ekonomi lebih luas kepada masyarakat setempat.
Katanya, projek di Elmina sahaja dijangka mewujudkan kira-kira 4,200 peluang pekerjaan selain syarikat tempatan berpeluang membina kepakaran dalam membangunkan pusat data berskala hiper.
“Kami membantu syarikat tempatan dalam proses pembinaan untuk memahami reka bentuk skala hiper. Kami membantu meningkatkan kemahiran mereka untuk mempelajari apa yang diperlukan bagi membina pusat data skala hiper peringkat dunia,” katanya.
Siah juga menjelaskan projek pembangunan itu juga memberi manfaat ekonomi kepada rangkaian perniagaan tempatan untuk membekal barangan dan perkhidmatan kepada pusat data berkenaan.
“Bagi setiap satu pekerjaan yang kami cipta di dalam pusat data kami sendiri, ia menyokong sembilan pekerjaan lain di luarnya,” kata beliau.
Katanya, bidang tersebut merangkumi kontraktor, perunding reka bentuk, pakar alam sekitar, pembekal peralatan, firma guaman, penyedia penyelenggaraan dan syarikat pengurusan sisa.
“Semua kontrak ini berulang setiap tahun kerana ia tidak berhenti. Ia berterusan sepanjang pusat data beroperasi sekali gus menjana peluang pekerjaan dalam jangka panjang,” kata Siah.
Beliau turut menyangkal tanggapan pusat data itu hanya beroperasi dengan bilangan pekerja yang sedikit sebaliknya menegaskan Google dijangka mengambil ratusan tenaga kerja mahir.
Siah menamakan pekerjaan itu antaranya juruteknik, jurutera rangkaian, jurutera mekanikal, jurutera elektrik, pengurus rantai bekalan dan logistik, pakar tenaga serta pengurus urusan komuniti.
Google kini sedang membuka pengambilan pekerja bagi pusat datanya di Malaysia tetapi Siah tidak dapat mendedahkan jumlah rasmi kekosongan jawatan.
Pekerja baharu bakal menjalani latihan intensif memandangkan kemudahan skala hiper Google menggunakan sistem dan teknologi yang dibangunkan khas untuk operasi syarikat itu sendiri.
Mengulas kebimbangan terhadap pencemaran bunyi yang sering dikaitkan dengan pusat data, Siah menjelaskan Google memilih lokasi jauh dari penempatan penduduk selain membuat ujian paras bunyi berkala.
“Kebiasaannya, ia perlu berada dalam julat 50 hingga 65 desibel. Jadi, kami mengujinya secara berkala bagi memastikan ia tidak melebihi ambang berkenaan,” katanya.
Paras tersebut umumnya sama dengan kadar perbualan biasa atau bunyi latar di pejabat.
Langkah itu juga merangkumi kedudukan penjana kuasa yang dihala ke dalam, bukan ke kawasan sekeliling selain mengekal jarak ruang sempadan dan memasang kipas peredam bunyi berhampiran pelayan (server).







