SHAH ALAM, 19 OGOS: Sebahagian besar binaan tanpa kelulusan di Kampung Budiman, Setia Alam, didapati sudah dirobohkan selepas tamat tempoh notis yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Perkara itu dikesan ketika MBSA menjalankan pemeriksaan di Lot 4062, 4063 dan 4064 berhampiran Memorial Park Bliss Garden, Jalan Hamzah, Seksyen U14, pada 17 Ogos lalu sebagai persediaan bagi operasi perobohan.
Bagaimanapun, masih terdapat baki binaan di lokasi berkenaan dan MBSA akan memantau keadaan tapak sebelum mengambil tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur ditetapkan.
“MBSA akan terus memantau keadaan tapak dan mengambil tindakan selanjutnya terhadap baki binaan yang masih terdapat di lokasi berkenaan mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan,” maklumnya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pemeriksaan sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memotong bekalan elektrik di lokasi berkenaan sebagai sebahagian daripada persediaan operasi.
Lawatan tapak bersepadu itu diketuai Pengarah Bangunan MBSA, Puan Noraidah Haji Basri, bersama Ahli Majlis MBSA merangkap Pengerusi MPP Zon 20, Encik Arif Abdullah serta pegawai kanan MBSA.
Turut terlibat Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, TNB serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor.
Pada 2 Ogos lalu, MBSA mengeluarkan 69 notis berhubung binaan tanpa kelulusan di tiga lot berkenaan, selain memberi penegasan akan mempertingkat penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memelihara keselamatan dan ketenteraman bandar raya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Selangor mengarahkan MBSA mengambil tindakan segera terhadap isu penempatan haram di Kampung Budiman, termasuk merobohkan struktur terbabit sekiranya didapati menceroboh tanah kerajaan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan itu perlu dilaksanakan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor.







