SHAH ALAM, 2 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 69 notis terhadap binaan tanpa kelulusan di tiga lot yang dikaitkan dengan isu penempatan haram Kampung Budiman, berhampiran Memorial Park Bliss Garden, Jalan Hamzah, Seksyen U14, pada Jumaat lalu.
MBSA menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, operasi bersepadu itu melibatkan Jabatan Bangunan dan Jabatan Penguatkuasaan MBSA, Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA serta Jabatan Imigresen Selangor.
“Sebanyak 69 notis di bawah Seksyen 72(6), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) ditampal di Lot 4062.
“Bagi Lot 4063 pula, struktur binaan telah dirobohkan oleh pemilik tanah selepas mematuhi arahan MBSA, manakala tindakan susulan terhadap Lot 4064 akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

MBSA berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat terhadap binaan tanpa kelulusan bagi memastikan pematuhan undang-undang, selain memelihara keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan bandar raya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Selangor mengarahkan MBSA mengambil tindakan segera terhadap isu penempatan haram di Kampung Budiman, Setia Alam termasuk merobohkan struktur terbabit sekiranya didapati menceroboh tanah kerajaan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor.
Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zabidah Zainal pula memaklumkan struktur haram di kawasan berkenaan melibatkan Lot 4062, Lot 4063 dan Lot 4064.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Imigresen Malaysia memaklumkan sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan kewujudan perkampungan haram warga asing di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bersepadu bersama agensi berkaitan akan dilaksanakan sekiranya siasatan mendapati dakwaan itu benar.







