
SHAH ALAM, 19 OGOS: Ketua jurulatih renang Selangor, Mark Chua Yu Foong berpuas hati dengan aksi 13 perenang negeri itu yang mara ke final Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, namun menegaskan mereka perlu meningkatkan prestasi apabila turun beraksi petang ini.
Beliau berkata prestasi dalam sesi saringan belum boleh dijadikan ukuran kerana cabaran sebenar hanya akan ditentukan apabila atlet turun beraksi pada saingan final.
“Persembahan pagi tadi agak memuaskan kerana cuma saringan.
“Tetapi di final mereka perlu pertingkat prestasi dan harap dapat naik taraf lagi persembahan untuk petang ini,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Terdahulu, seramai 13 perenang Selangor mengesahkan tempat ke final selepas mencatat keputusan positif dalam sesi saringan di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.
Mereka akan beraksi dalam lapan acara, termasuk gaya bebas, kuak dada, gaya lentang dan 400 meter gaya bebas.
Mengulas peluang meraih pingat, Mark berkata sasaran tetap diletakkan kepada atlet yang layak ke final, namun keputusan sebenar bergantung kepada prestasi mereka ketika perlumbaan berlangsung.
Katanya, setiap perenang perlu memperbaiki catatan masa masing-masing bagi meningkatkan peluang menamatkan perlumbaan dalam kelompok terbaik.
“Harap-harap kita boleh capai sasaran, tetapi kita tak tahu sampai mereka berenang petang ini,” katanya.








