Debut lompat kijang Raja Nur Ain dihiasi rekod peribadi

19 Ogos 2026, 4:27 AM
Debut lompat kijang Raja Nur Ain dihiasi rekod peribadi

SERDANG, 19 OGOS: Penampilan pertama Raja Nur Ain Raja Muhammad Badiuzzaman dalam acara lompat kijang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berakhir dengan catatan manis apabila atlet Selangor itu merekodkan lompatan terbaik peribadinya di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Beliau melakukan lompatan sejauh 11.34 meter untuk menduduki tempat kelima, sekali gus memperbaharui rekod peribadi dalam acara yang baru diceburinya sejak setahun lalu.

Lebih menarik, Raja Nur Ain sebelum ini lebih banyak beraksi dalam acara trek 400 meter dan 4x400 meter sebelum beralih kepada lompat kijang dalam usaha mengembangkan potensinya dalam olahraga.

Menurutnya, catatan 11.34 meter itu merupakan lompatan terjauh pernah dilakukannya sejak mula menceburi acara berkenaan.

“Tidak pernah saya lompat sejauh ini. Ini kali pertama dalam sejarah saya sejak menyertai lompat kijang setahun yang lalu.

“Saya bangga dengan pencapaian ini walaupun dah tak dapat merasai kaki saya pada lompatan terakhir tetapi rekod peribadi ini menjadi hadiah buat saya,” katanya kepada Media Selangor.

Atlet Selangor, Raja Nur Ain Raja Muhammad Badiuzzaman melakukan lompatan dalam acara lompat kijang wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada 19 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Catatan berkenaan menyuntik semangat buat Raja Nur Ain untuk terus memperbaiki teknik dan prestasinya dalam acara lompat kijang, selain tidak melupakan penglibatannya dalam acara trek.

Selepas saingan itu, Raja Nur Ain akan kembali menggalas cabaran Selangor dalam acara 4x400 meter yang dijadualkan berlangsung esok.

Bersama kuartet Selangor, beliau menyasarkan untuk memperbaiki pencapaian gangsa yang diraih pada temasya lalu, selain mengintai peluang untuk sekali lagi menaiki podium di SUKMA 2026.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.