SHAH ALAM, 18 OGOS: Tilapia mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan sebagai sumber protein penting kepada rakyat, selain menyediakan peluang ekonomi dan pendapatan kepada pengusaha akuakultur.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata potensi itu perlu terus diperkasakan menerusi pendekatan moden, produktif dan mampan termasuk penggunaan teknologi bioflok yang mampu mengoptimumkan penggunaan tanah dan air.
“Tilapia ini boleh kita ibaratkan sebagai ayam akuakultur. Ia mempunyai permintaan yang baik dan boleh menjadi sumber protein penting kepada rakyat. Sebab itu kita mahu industri ini terus diperkasakan secara moden, produktif dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berhubung Projek Ternakan Ikan Tilapia Menggunakan Sistem Bioflok ARC Berkat di Klang, yang dirasmikan Mohamad hari ini.

Projek berkenaan menerima sokongan dana kerajaan menerusi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sebagai sebahagian usaha memperkukuh kapasiti pengeluaran agromakanan, meningkatkan produktiviti serta menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam sektor akuakultur.
Menurut data DOF, sebanyak 4,400 penternak tilapia direkodkan pada 2025, manakala hingga Julai tahun ini, sebanyak 4,399 penternak terlibat dalam aktiviti ternakan ikan berkenaan.
Pada 2025, pengeluaran tilapia negara direkodkan sebanyak 28,555.94 tan metrik bernilai RM343.47 juta, manakala bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 pula, pengeluaran mencapai 9,436.25 tan metrik bernilai RM108.83 juta, tidak termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut kenyataan itu, angka berkenaan menunjukkan tilapia mempunyai peranan penting dalam sektor akuakultur negara, khususnya dalam menyumbang kepada bekalan protein dan keterjaminan makanan, selain menyediakan ruang kepada pertumbuhan ekonomi pengusaha.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata sistem bioflok berpotensi meningkatkan kecekapan pengeluaran akuakultur menerusi penggunaan tanah dan air yang lebih efisien, terutama di kawasan mempunyai kekangan ruang, namun pengurusan kualiti air, oksigen terlarut, pemakanan, kesihatan ikan dan biosekuriti perlu diberi perhatian.
Menurut DOF, Selangor merekodkan pengeluaran tertinggi menerusi sistem bioflok pada 2025 sebanyak 1,423 tan metrik bernilai kira-kira RM14 juta, diikuti Kedah sebanyak 35 tan metrik dan Melaka 10 tan metrik. Dari segi bilangan penternak, Kedah mencatat jumlah tertinggi dengan 26 orang.
Menurut kenyataan itu, kira-kira 99 peratus penggunaan sistem bioflok adalah bagi ternakan tilapia, menunjukkan teknologi itu mempunyai potensi besar untuk diperluas bagi meningkatkan produktiviti, khususnya di kawasan yang mempunyai keterbatasan tanah dan sumber air.
Bagaimanapun, ternakan tilapia perlu dilaksanakan secara terkawal kerana spesies itu merupakan ikan asing yang boleh menjejaskan ekosistem dan spesies ikan asli jika dilepaskan ke perairan umum, justeru penternak dan orang ramai diingatkan supaya tidak melepaskan tilapia ke sungai, tasik, empangan atau perairan umum.
Pada masa sama, penternak disaran mengamalkan pengeluaran yang baik termasuk mendapatkan pensijilan myGAP, selain memberi perhatian terhadap kualiti air terutama ketika cuaca panas.
Kerajaan melalui DOF akan terus menyediakan sokongan benih, input, peralatan, teknologi dan khidmat teknikal bagi meningkatkan produktiviti serta menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang akuakultur.







