SHAH ALAM, 6 APR: Teknologi bioflok dilihat mampu mempercepat pengeluaran ikan tempatan selain mengurangkan kos operasi akuakultur.
Jabatan Perikanan Selangor memaklumkan kaedah ternakan dalam tangki itu semakin mendapat sambutan, khususnya bagi spesies tilapia.
Perkara itu dimaklumkan menerusi perkongsian di Facebook susulan program lawatan pemantauan bersama Kementerian Ekonomi ke sebuah operasi akuakultur di Rawang, baru-baru ini.
“Penggunaan teknologi moden seperti bioflok dapat mengurangkan penggunaan air, menjimatkan kos serta meningkatkan hasil ternakan,” menurut jabatan itu.
Teknologi berkenaan turut membolehkan ikan dipasarkan dalam tempoh lebih singkat, sekitar dua hingga empat bulan.
Dalam masa sama, jabatan itu menggalakkan lebih ramai penternak beralih kepada kaedah moden bagi meningkatkan produktiviti serta memastikan bekalan sumber perikanan kekal mencukupi.









