SKMM, JIM meterai kerjasama perkukuh penguatkuasaan jenayah rentas sempadan

18 Ogos 2026, 7:31 AM
SKMM, JIM meterai kerjasama perkukuh penguatkuasaan jenayah rentas sempadan

PUTRAJAYA, 18 OGOS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara dalam menangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks dan canggih.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata empat teras utama kerjasama itu ialah pembinaan kapasiti, perkongsian risikan, siasatan bersama dan operasi bersama, selaras dengan keperluan agensi penguatkuasaan untuk menyesuaikan pendekatan dengan perubahan modus operandi jenayah.

"Inisiatif JIM dan SKMM langkah yang betul untuk menggabung dua kekuatan agensi ini. Sekurang-kurangnya untuk kita mitigate (mengurangkan) potensi jenayah yang semakin menggerunkan,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran MoU itu di sini hari ini.

Pertukaran MoU itu disempurnakan Pengerusi SKMM Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dengan disaksikan Saifuddin dan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Saifuddin berkata kerjasama itu penting memandangkan perkembangan teknologi kini menyebabkan bentuk jenayah berubah, terutamanya apabila urusan pengedaran dadah dan jenayah komersial kini memanfaatkan platform digital serta transaksi dalam talian.

Beliau berkata penguatkuasaan menjadi semakin sukar berikutan keluasan sempadan negara yang memerlukan kerajaan memperkukuh aset, perundangan dan keupayaan agensi penguatkuasaan.

“Jadi mesejnya sama saja. Jenayah menjadi semakin kompleks dan canggih. Kerajaan dan juga agensi penguatkuasaan mesti menjadi lebih maju daripada pelaku jenayah. Kalau kita tertinggal dua tiga langkah ke belakang, kita akan terus tidak dapat tangani dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata kerjasama berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara dalam menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan yang dipacu perkembangan teknologi.

“Hakikatnya, jenayah hari ini bukan lagi terbatas kepada sempadan fizikal. Sindiket jenayah seperti penipuan dalam talian atau scam, pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan identiti turut melibatkan rangkaian komunikasi dan platform digital,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu juga membolehkan perkongsian maklumat dan risikan diperkukuh bagi membantu pengesanan individu, rangkaian komunikasi dan modus operandi jenayah berkaitan.

“Saya harap melalui MoU ini, kerjasama dapat diterjemah kepada tindakan yang nyata. Perkongsian maklumat perlu berlaku dengan lebih pantas, risikan dimanfaatkan dengan lebih berkesan dan penyelarasan siasatan diperkukuh,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.