
KUALA SELANGOR, 19 OGOS: Atlet petanque Selangor, Muhammad Arif Irfan Zainudin bertekad menamatkan penampilan terakhirnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) dengan menghadiahkan pingat emas buat kontinjen tuan rumah.
Atlet berusia 21 tahun itu berkata SUKMA 2026 merupakan penyertaannya yang kedua selepas membuat penampilan sulung pada edisi Sarawak 2024 dalam acara beregu campuran.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bermain kali kedua, kali ini bersama Selangor.
“Ini juga merupakan SUKMA terakhir saya, jadi saya harap dapat memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Pada SUKMA Sarawak 2024, Muhammad Arif Irfan menghadiahkan pingat gangsa kepada Selangor dalam acara beregu campuran, pengalaman yang menjadi pembakar semangat untuk memburu emas pada edisi kali ini.

“Kalau boleh, saya berharap dapat menyumbang pingat emas untuk Selangor dan juga untuk diri sendiri,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi temasya itu, Muhammad Arif Irfan berkata beliau memulakan latihan secara sendirian sejurus tamat SUKMA Sarawak 2024 sebelum menyertai kem latihan skuad petanque Selangor.
Menurutnya, latihan bersama pasukan sejak setahun lalu banyak membantunya meningkatkan prestasi dan membuat persiapan lebih rapi menjelang kejohanan.
Dalam pada itu, Muhammad Arif Irfan yang baharu menamatkan pengajian Diploma Perbankan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata beliau kini menunggu peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Atlet itu dijadualkan beraksi di Arena Petanque Kompleks Sukan Kuala Selangor, petang ini bagi memburu pingat emas buat kontinjen negeri.







