PUTRAJAYA, 18 Ogos: Penubuhan Unit Dron Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dilengkapi 18 unit dron mampu memperkukuh keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan agensi itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata penggunaan dron termasuk pada waktu malam membolehkan AADK memantau kawasan panas penyalahgunaan dadah dengan lebih berkesan, selain meningkatkan ketepatan maklumat sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.

“Unit dron ini akan dapat melakukan penerbangan termasuk waktu malam dengan mengesan mereka yang terlibat. (Sebelum ini) hasilnya (pemantauan), kita dapat (kesan) sejumlah 23,317 (orang) dalam senarai orang disyaki (terlibat dadah),” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Pengerusi SKMM Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Saifuddin Nasution berkata data hasil pemantauan dron disalurkan ke bilik gerakan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan terhadap individu yang dikenal pasti.
Selain itu, beliau berkata AADK melancarkan Pelan Strategik AADK untuk tempoh 2026 hingga 2030 bagi membolehkan agensi itu melaksanakan fungsi pencegahan dan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.
“Pelan ini akan menjadi landasan bagaimana AADK akan beroperasi dalam melaksanakan fungsi pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan,” katanya.
Terdahulu, pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Saifuddin Nasution melancarkan KDN Gen AI Platform dan Pelan Strategik AADK 2026-2030 serta Unit Dron AADK bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pencegahan dadah di negara ini.







