Nur Ieka raih perak recurve 70 meter, hadiah pingat pertama kem memanah

18 Ogos 2026, 6:15 AM
Nur Ieka raih perak recurve 70 meter, hadiah pingat pertama kem memanah

KAJANG, 18 OGOS: Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli menghadiahkan pingat pertama buat kem memanah Selangor selepas meraih perak dalam acara pusingan kelayakan recurve 70 meter (m) wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium INSPEN, Bangi, pagi tadi.

Pada saingan berkenaan, Nur Ieka mengumpul 643 mata, bersaing hebat dengan atlet Sarawak Joey Tan Xing Lei, namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas dipisahkan menerusi kiraan markah 10 dan X.

Joey memenangi pingat emas apabila mendapat 19 mata berbanding 12 mata yang direkodkan Nur Ieka, manakala atlet Kedah Nur Auni Aqilah Andri meraih gangsa dengan kutipan 634 mata.

Pemanah Selangor, Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli (kiri) bergambar bersama selepas penyampaian hadiah dalam acara Recurve 70 meter wanita pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium INSPEN, Kajang pada 18 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR

Nur Ieka yang mesra disapa Ieka berkata walaupun berasa teruja untuk beraksi, dia sedikit gemuruh namun berjaya mengawal emosi pada pusingan ketiga.

"Sedikit kecewa sebab daripada SUKMA lepas pun saya tak dapat tewaskan Joey Tan. InsyaAllah untuk pusingan kalah mati saya akan berusaha tebus kekecewaan.

"Perasaan saya sejak semalam tak rasa takut, tapi teruja untuk beraksi. Tapi bila masuk padang, mula perasaan gemuruh itu datang. Tapi untuk pusingan ketiga (end ketiga) saya dapat kembali untuk bersaing," katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, jurulatih Selangor Wan Mohd Khalmizan Wahab Aziz berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun sedikit terkilan apabila pingat emas terlepas dengan perbezaan yang tipis.

Jurulatih memanah Selangor, Wan Mohd Khalmizan Wahab Aziz ketika ditemui pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium INSPEN, Kajang pada 18 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR 

"Pada mulanya kita nampak ada peluang untuk dapat emas hari ini. Pada set kedua, skor itu agak rapat. Tapi nasib tidak baik, kita dibezakan dengan bilangan markah sasaran 10 sahaja.

"Tapi saya rasa prestasi memuaskan untuk sesi pagi ini. Sesi petang kita ada lagi pusingan (kalah mati). Untuk individu kita tak letak sasaran pingat, tumpuan kita lebih kepada acara berpasukan selepas ini," katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.