Tiga kali SUKMA, Miza masih belum serik buru pingat buat Selangor

18 Ogos 2026, 5:57 AM
Tiga kali SUKMA, Miza masih belum serik buru pingat buat Selangor
Tiga kali SUKMA, Miza masih belum serik buru pingat buat Selangor
Tiga kali SUKMA, Miza masih belum serik buru pingat buat Selangor
Tiga kali SUKMA, Miza masih belum serik buru pingat buat Selangor

KUALA SELANGOR, 18 OGOS: Dua penampilan di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) tanpa pingat tidak mematahkan semangat Nur Miza Wazinah Mohd Fauzi untuk terus mengejar impian menghadiahkan kilauan pingat buat Selangor pada penampilan ketiganya di SUKMA 2026.

Atlet petanque berusia 21 tahun itu mula menceburi sukan berkenaan ketika di tingkatan lima sebelum membuat penampilan sulung di SUKMA Kuala Lumpur 2022 menerusi acara perseorangan, trio dan berpasukan.

Pada temasya itu, Nur Miza hampir menghadiahkan pingat dalam acara trio, namun impian tersebut belum kesampaian sebelum dia sekali lagi mencuba nasib dalam acara perseorangan pada SUKMA Sarawak 2024.

Atlet petanque Selangor wanita, Nur Miza Wazinah ditemui ketika saingan SUKMA Selangor 2026 di Arena Petanque Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 18 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Untuk SUKMA Sarawak 2024, saya nak buktikan yang saya boleh dapat medal dalam acara perseorangan, tapi saya masih belum dapat buktikan. Jadi tahun ini, saya nak cuba buktikan yang saya boleh dapatkan medal untuk Selangor,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Biarpun dua penampilan terdahulu belum membuahkan pingat, Nur Miza menganggap peluang beraksi buat kali ketiga di pentas temasya dwitahunan itu sebagai satu keistimewaan yang mahu dimanfaatkannya sebaik mungkin.

Katanya, sokongan rakan sepasukan, jurulatih dan pasangan menjadi antara sumber kekuatan untuknya kekal tenang dan bersemangat ketika berdepan tekanan pertandingan.

“Alhamdulillah sebab diberi peluang sekali lagi untuk bermain untuk Selangor dan saya akan cuba buat yang terbaik untuk Selangor,” katanya.

Nur Miza yang bakal beraksi dalam acara beregu campuran esok berkata, setiap kategori memerlukan pendekatan berbeza, khususnya dari segi taktikal dan komunikasi bersama pasangan.

“Kalau acara berseorangan perlukan tumpuan lebih kepada taktikal sendiri tetapi jika main dengan lelaki, lebih kepada taktikal lelaki. Dan kita tak semestinya perlu ikut, kita akan beri cadangan juga,” katanya.

Atlet wanita petanque pasukan Selangor kekal fokus mengatur strategi dan membuat lontaran tepat dalam saingan SUKMA Selangor 2026 di Arena Petanque Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 18 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, sokongan jurulatih dari daerah Sepang turut banyak membantunya mendapatkan semula rentak permainan, selain dorongan rakan-rakan yang sudah lama bersama dalam sukan itu.

Katanya, sokongan pasangan juga menjadi pembakar semangat terutama ketika berdepan detik sukar sepanjang persiapan menghadapi SUKMA 2026.

Dengan pengalaman dua edisi SUKMA sebagai bekalan, Nur Miza kini mahu menjadikan penampilan ketiganya sebagai peluang terbaik untuk menamatkan penantian dan merealisasikan impian membawa pulang pingat buat Selangor.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.