
SERDANG, 18 OGOS: Dua pelari pecut lelaki Selangor meneruskan momentum cemerlang kem olahraga apabila mara ke final acara 200 meter lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Muhammad Daniel Haqiem dan Danish Irfan Thamrin mengungguli saringan masing-masing untuk mengesahkan tempat ke pentas final yang dijadual berlangsung petang ini.
Daniel Haqiem muncul pelari terpantas dalam saringan pertama dengan catatan 21.750 saat, manakala Danish mengungguli saringan keempat selepas merekodkan masa 21.840 saat.
Kejayaan itu menyaksikan kedua-dua atlet berkenaan mengikut jejak langkah rakan sepasukan, Nur Qaseh Kiasatina dan Lim Mei Yin yang lebih awal layak ke final acara 200 meter wanita.

Aksi saringan sebelum itu terpaksa ditangguhkan seketika susulan hujan lebat dan petir yang melanda kawasan Stadium UPM.
Bagaimanapun, keadaan trek yang basah tidak menjejaskan prestasi Daniel Haqiem dan Danish apabila kedua-duanya berjaya mempamerkan aksi terbaik untuk menempah slot ke final.
Pada aksi final nanti, kedua-dua wakil Selangor itu dijangka menerima tentangan sengit daripada pelari Johor dan Kedah.
Dalam perkembangan sama, kuartet 4×400 meter campuran Selangor turut mengesahkan tempat ke final, meneruskan rentak cemerlang kem olahraga negeri.
Dengan empat pelari pecut Selangor kini layak ke final acara 200 meter lelaki dan wanita, kem olahraga negeri berpeluang menambah kutipan pingat pada temasya SUKMA 2026.
Aksi final 200 meter lelaki dan wanita petang ini dijangka menjadi antara tumpuan utama saingan olahraga dalam usaha Selangor memburu pungutan pingat.








