SUKMA 2026: Dua pelari pecut wanita Selangor mara ke final 200 meter

18 Ogos 2026, 4:00 AM
SUKMA 2026: Dua pelari pecut wanita Selangor mara ke final 200 meter
SUKMA 2026: Dua pelari pecut wanita Selangor mara ke final 200 meter

SERDANG, 18 OGOS: Kem olahraga Selangor berpeluang menambah kutipan pingat apabila dua pelari pecut wanita, Nur Qaseh Kiasatina dan Lim Mei Yin, mara ke final acara 200 meter wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Kedua-dua atlet berkenaan mempamerkan aksi bertenaga pada saingan separuh akhir sekali gus mengesahkan tiket ke final yang dijadual berlangsung petang ini.

Qaseh mencatat masa 25.590 saat dalam saringan kedua, manakala Mei Yin merekodkan 25.660 saat untuk muncul pelari terpantas dalam saringan ketiga.

Lebih menarik, kedua-dua wakil Selangor itu bakal berentap sesama sendiri dalam perebutan pingat selepas menjalani latihan bersama sepanjang persiapan menghadapi temasya.

Qaseh berkata dia berpuas hati dengan prestasinya di separuh akhir dan kini mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada aksi final.

Atlet Selangor, Lim Mei Yin layak ke final acara 200 meter wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada 18 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Keadaan larian saya baik dan fokus kini terarah pada final. Gembira dapat beraksi bersama Mei Yin kerana kami sering berlatih bersama-sama dan kini peluang kami untuk memenangi pingat untuk Selangor," katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Mei Yin yang sebelum ini memenangi pingat perak acara 100 meter wanita turut meluahkan kegembiraan kerana sekali lagi berjaya melangkah ke final.

Pelari berusia 17 tahun itu berazam memperbaiki catatan peribadinya pada aksi akhir meskipun berdepan cabaran tiupan angin ketika saingan separuh akhir.

"Gembira dapat masuk ke final. Larian saya sedikit sukar kerana tiba-tiba ada tiupan angin yang kencang di balapan namun itu bukan alasan untuk saya habiskan larian," katanya.

Dalam perkembangan sama, atlet lontar tukul besi wanita Selangor, Cempaka Zahraa Izwan, menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 39.95 meter.

Walaupun gagal menaiki podium, Cempaka Zahraa tetap berpuas hati apabila berjaya memperbaharui catatan terbaik peribadinya pada temasya kali ini.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.