
PETALING JAYA, 17 OGOS: Pemain tenpin boling SUKMA Selangor, Adania Mohd Redzwan bertekad menebus kegagalan meraih pingat emas dalam acara perseorangan wanita apabila turun beraksi dalam acara beregu yang berlangsung esok.
Tanpa mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri, Adania berkata dia akan memberi fokus kepada setiap acara bagi memastikan sasaran meraih pingat dapat direalisasikan.
"Saya akan fokus satu demi satu acara untuk dapatkan medal. Ada lima lagi acara, doakan saya dapat menang semuanya," katanya.
Dalam acara perseorangan wanita hari ini, Adania berjaya menghadiahkan pingat perak kepada Selangor selepas ketinggalan 38 jatuhan pin di belakang pemenang emas, Nur Aisyah Salleh dari Perlis.
Mengulas aksinya, Adania mengakui sedikit masalah ketika permainan kelima menyebabkan dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri selepas pertukaran lorong.
"Ada sedikit masalah ketika permainan kelima, ketika pertukaran lane, saya lambat menyesuaikan rentak.
"Tapi saya dapat semula pada permainan keenam dan mengejar hingga dapat perak," katanya.
Menyentuh mengenai prestasi yang ditunjukkan hari ini, Adania menganggap pencapaian itu sebagai satu permulaan positif dan berharap dapat memperbaiki kelemahan bagi menghadapi baki acara.
Esok, Adania akan kembali turun ke lorong bersama rakan sepasukannya dalam acara bergu wanita yang menawarkan satu lagi peluang buat Selangor memburu pingat emas untuk SUKMA ke-22.






