Tiga beradik cipta kenangan istimewa raih perak polo air SUKMA

17 Ogos 2026, 12:00 PM
Tiga beradik cipta kenangan istimewa raih perak polo air SUKMA

SHAH ALAM, 17 OGOS: Tiga beradik, Brandon Wong Li Hong, 20, Aidan Wong Li Soong, 19, dan Ethan Wong Li Han, 17, mencipta kenangan istimewa apabila beraksi bersama mewakili skuad polo air lelaki Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Ketiga-tiga mereka turun beraksi dalam perlawanan akhir menentang Sarawak sebelum Selangor terpaksa akur dengan kekalahan, sekali gus menamatkan saingan sebagai naib juara dan membawa pulang pingat perak.

Bapa kepada tiga beradik itu, Wong Joon Quin berkata beliau dan isteri amat berbangga melihat ketiga-tiga anaknya berkembang dalam sukan berkenaan sejak mula menceburinya pada 2015.

“Kami sangat bangga sejak mereka mula bermain polo air pada 2015. Sepanjang perjalanan itu, mereka semakin menyukai sukan ini dan benar-benar menikmatinya,”katanya Ketika ditemu bual Media Selangor.

Menurutnya, Brandon yang terlebih dahulu menceburi polo air sebelum diikuti Aidan dan kemudian Ethan, menjadikan sukan itu sebagai satu aktiviti yang turut mendapat sokongan penuh keluarga.

“Pada mulanya Brandon yang bermain, kemudian Aidan dan selepas itu Ethan mengikut jejak langkah.

Mereka sangat berminat dengan sukan ini dan sebagai ibu bapa, kami hanya mahu sentiasa berada di sisi mereka untuk memberikan sokongan,” katanya.

Beliau berkata peluang melihat ketiga-tiga anaknya beraksi bersama di pentas SUKMA Ke-22 ini merupakan sesuatu yang amat membanggakan selepas segala usaha dan latihan yang dicurahkan selama ini.

Katanya, kejayaan meraih pingat perak bersama skuad Selangor turut menjadi satu pencapaian istimewa yang terhasil daripada sokongan berterusan ibu bapa serta jurulatih.

“Apabila mengetahui mereka bertiga dapat beraksi bersama di SUKMA, kami sangat bangga kerana ia hasil kerja keras mereka.

Meraih perak hari ini bersama seluruh pasukan juga satu pencapaian yang membanggakan,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.