KUANTAN, 17 OGOS: Polis Pahang menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat satu kartel dadah berskala besar beroperasi di Genting Highlands, Bentong tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata jika ada kegiatan menyalahi undang-undang seperti itu, pihaknya pasti akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah jenayah tersebut.
“Sekiranya ada laporan polis yang membabitkan insiden yang menyalahi undang-undang, pihak kami akan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa mengira lokasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Terdahulu, Azry Akmar menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) antara ACP Muhammed Rizal Kamarudin yang memangku jawatan itu, kepada SAC Ahmad Sukarno Mohd Zahar.
Dalam hantaran di platform media sosial Threads baru-baru ini, seorang pengguna media sosial itu mendakwa, terdapat satu kartel dadah berskala besar yang beroperasi di lokasi pelancongan terkenal itu.
Pengguna media sosial itu mendakwa, meskipun beberapa individu telah tampil membuat laporan polis, namun tiada sebarang tindakan diambil.
Dalam perkembangan lain, Azry Akmar berkata pemandu lori tangki yang terlibat dalam nahas meragut dua nyawa di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, dekat Kampung Lebak pada Jumaat lepas, akan ditahan reman sehingga esok sebelum dibebaskan.
“Kertas siasatan kes itu akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini dan ia akan ditutup selepas mendapat keputusan daripada TPR,” katanya.
Beliau berkata pemandu lelaki berusia 37 tahun itu setakat ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
“Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua mangsa juga telah disemak dan keputusannya positif iaitu mereka ialah Nur Fatima Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Nur Fatima dan anak lelakinya, ditemukan rentung selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa muatan 32,000 liter diesel dan petrol, sehingga menyebabkan kebakaran, namun pemandu lori tangki hanya cedera ringan.
-- BERNAMA







