SUKMA 2026: Selangor jinakkan Kedah, mara suku akhir selaku juara kumpulan

16 Ogos 2026, 3:59 PM
SUKMA 2026: Selangor jinakkan Kedah, mara suku akhir selaku juara kumpulan

PETALING JAYA, 16 OGOS: Selangor mengesahkan tempat ke suku akhir acara bola sepak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas menang 2-1 ke atas Kedah di Stadium MBPJ, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan kedua berturut-turut itu mengukuhkan kedudukan Selangor selaku Juara Kumpulan C dengan enam mata sekali gus menempah tempat ke pusingan seterusnya.

Selangor yang bermula garang pada aksi pembukaan menewaskan Wilayah Persekutuan tampil mendominasi babak pertama dan mendahului menerusi jaringan Muhammad Danish Iskandar Marzizul pada minit ke-30.

Lapan minit kemudian, Selangor tidak menunggu lama untuk menyambar peluang menjaringkan gol kedua menerusi percubaan Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Kedah cuba bangkit memberi saingan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-68 apabila penyerang Shahmeer Rusli membuat percubaan lambung menewaskan penjaga gol Selangor, Muhammad Farish Farhan.

Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan dengan Selangor berjaya mengekalkan rekod bersih kemenangan.

Jurulatih Selangor, I Arulchelvan, memuji persembahan anak buahnya selepas berjaya melengkapkan misi awal layak ke pusingan kalah mati.

"Saya boleh katakan malam ini satu persembahan yang baik. Kita melakukan banyak penggiliran pemain kerana jadual perlawanan yang padat, selain kena bersedia untuk menghadapi pusingan suku akhir.

"Tapi apa yang para pemain buat hari ini, semua mengikut perancangan dengan baik dan semuanya menjadi," katanya kepada Media Selangor.

Selangor kini menantikan naib juara Kumpulan D bagi perlawanan suku akhir yang dijadualkan pada 18 Ogos ini di Stadium MBPJ.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.