PKNS Robotic Challenge perkasa pelajar OKU, bina keyakinan menerusi STEM

16 Ogos 2026, 3:12 PM
PKNS Robotic Challenge perkasa pelajar OKU, bina keyakinan menerusi STEM

SHAH ALAM, 16 OGOS: Penganjuran “PKNS Robotic Challenge 2026” membuka ruang berharga kepada murid kurang upaya (OKU) untuk meningkatkan kemahiran insaniah serta membina keyakinan diri melalui kerja berpasukan.

Guru pengiring Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam, Suhana Abu Bakar berkata program berteraskan teknologi dan inovasi itu turut menjadi platform terbaik buat golongan berkenaan mengasah bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seiring dengan minat mendalam mereka terhadap peranti digital.

"Pertandingan seperti ini sebenarnya agak sukar disertai kerana OKU biasanya agak keberatan untuk bersosial, malah ada dalam kalangan mereka yang tidak mahu bercampur dengan orang lain. Namun, apabila berada dalam pertandingan ini, mereka berupaya bekerjasama dalam satu pasukan dengan baik.

"Penglibatan empat pelajar OKU berusia antara 13 hingga 15 tahun dari sekolah kami yang mengalami masalah autisme, kurang tumpuan dan hiperaktif (ADHD) serta ketidakupayaan berganda ini juga membolehkan mereka mengatasi rasa canggung serta berani berinteraksi dengan masyarakat luar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas pasukannya menerima Anugerah Insaniah dalam Majlis Penutup PKNS Robotic Challenge 2026 di sini hari ini.

Turut hadir EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abbas.

Dalam pada itu, Suhana berkata penglibatan dalam pertandingan itu secara tidak langsung berupaya membentuk sahsiah serta memupuk keyakinan pelajar, terutamanya ketika perlu menyampaikan pembentangan di hadapan khalayak ramai.

Beliau berkata bidang multimedia dan teknologi kini menjadi tumpuan utama ibu bapa pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) memandangkan kanak-kanak autisme umumnya mempunyai minat yang sangat tinggi terhadap gajet serta gubahan teknologi.

Sementara itu, Mahmud berkata dalam konteks STEM yang didukung sokongan kerajaan negeri, PKNS berhasrat mencipta sesuatu yang memberi manfaat jangka panjang kepada generasi muda bagi melahirkan modal insan yang lebih kompetitif dan berdaya saing untuk muncul antara yang terbaik dalam bidang inovasi di peringkat global.

"Saya (PKNS) berharap pada masa akan datang dapat melihat robot melakukan kerja-kerja pembersihan di Aneka Walk, bas tanpa pemandu berulang-alik di antara pusat perniagaan di sekitar Kompleks PKNS pergi ke hotel dan di sekitar kawasan ini.

"Bas tanpa pemandu telah digunakan di Jepun dan belum ada mana-mana negara lain yang pernah melakukannya termasuk Malaysia, Indonesia, mahupun Singapura. Biarlah kita menjadi yang pertama melakukannya," katanya.

Sehubungan itu, Mahmud menekankan bahawa penyediaan pelbagai fasiliti dan penganjuran program berteraskan teknologi bukan sekadar untuk memenuhi ruang bangunan yang kosong atau dijadikan medan berseronok semata-mata tetapi disulami elemen pembelajaran secara praktikal.

Beliau berkata PKNS komited menyediakan persekitaran serta kawasan perniagaan yang kondusif bagi menyokong pembangunan keusahawanan dan inovasi kerana ekosistem sedemikian membolehkan masyarakat khususnya generasi muda memanfaatkan setiap peluang perniagaan dan teknologi yang disediakan.

Terdahulu, pertandingan selama dua hari anjuran Bahagian Inovasi PKNS itu disertai 48 pelajar daripada 12 sekolah menengah di Selangor dengan konsep “Battle Soccerbot Challenge”, yang menguji keupayaan peserta mereka bentuk, mengendalikan robot menggunakan teknologi automasi, pengaturcaraan serta pencetakan tiga dimensi (3D).

Terdahulu, SMK La Salle Petaling Jaya dinobat sebagai juara diikuti SMK Seksyen 9 di tempat kedua.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.