HULU SELANGOR, 16 OGOS: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pejabat tanah dan daerah bagi mempercepatkan proses pewartaan tanah 74 perkampungan Orang Asli di tujuh daerah di Selangor.
EXCO Hal Ehwal Orang Asli V. Papparaidu berkata lebih separuh daripada kampung berkenaan kini dalam proses pewartaan, namun pelaksanaannya berdepan beberapa isu termasuk melibatkan tanah rizab Melayu dan tanah milikan individu.
“Sebenarnya kita mempunyai lebih daripada 50 peratus kampung yang disenaraikan sebagai kampung Orang Asli dalam proses pewartaan. Usaha ini akan saya teruskan di tujuh daerah di Selangor.
“Bagi kampung yang masih belum diwartakan, khususnya di Hulu Selangor, pegawai daerah banyak membantu dengan memberikan idea dan cadangan bagi menyelesaikan isu berkaitan tanah milikan individu serta rizab Melayu.
“Usaha kita bersama pegawai daerah adalah membantu menyelesaikan perkara ini, tetapi memang terdapat masalah di lapangan termasuk yang melibatkan pejabat hutan,” katanya ketika merasmikan Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 Zon Hulu Selangor hari ini.
Terdahulu, Papparaidu berkata proses pewartaan 74 perkampungan Orang Asli di Selangor mengambil kira pelbagai aspek, termasuk sejarah penempatan serta pemindahan penduduk.
Beliau berkata Kerajaan Negeri terus berusaha menyelesaikan isu pewartaan tanah Orang Asli secara menyeluruh bagi memastikan kepentingan dan hak masyarakat berkenaan terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya tidak menjual atau menggadaikan tanah yang dimiliki kerana ia merupakan aset penting untuk masa depan generasi akan datang.
“Tanah adalah warisan. Jika dijual atau dilelong, kita akan hilang hak milik. Lindungilah aset ini demi generasi akan datang,” tegasnya.







