Gempa bumi 6.4 magnitud landa Sumatera, gegaran dirasai di Pulau Pinang

15 Ogos 2026, 12:54 PM
Gempa bumi 6.4 magnitud landa Sumatera, gegaran dirasai di Pulau Pinang

SHAH ALAM, 15 OGOS: Gegaran gempa bumi bermagnitud 6.4 yang melanda Utara Sumatera, Indonesia pada 6.54 petang tadi turut dirasai di sekitar Pantai Barat Semenanjung Malaysia termasuk Pulau Pinang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa itu berlaku pada koordinat 2.9 darjah utara dan 98.8 darjah timur dengan kedalaman 154 kilometer (km).

Menurutnya, pusat gempa terletak kira-kira 37 km barat daya Permatang Siantar, Indonesia.

"Gegaran dirasai di sekitar Pantai Barat Semenanjung Malaysia, namun kejadian itu tidak mendatangkan ancaman tsunami kepada negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima sembilan panggilan kecemasan berhubung gegaran itu kira-kira 6.55 petang.

Beliau berkata panggilan berkenaan membabitkan empat kawasan di dua daerah di bahagian pulau serta beberapa kawasan di Seberang Perai.

"Anggota kami telah ke lokasi dan sedang menjalankan pemeriksaan lanjut (pada bangunan)," katanya.

Gegaran selama beberapa minit itu dilaporkan dirasai antaranya di Sungai Baru, Bayan Baru, George Town, Jelutong, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Air Itam di bahagian pulau serta Perai, Bagan, Teluk Air Tawar, Jalan Baru, Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Bertam di Seberang Perai.

Setakat maklumat diterima, tiada ancaman tsunami dikeluarkan kepada Malaysia susulan kejadian berkenaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.