JAKARTA, 14 DIS: Komuniti diaspora Indonesia menyuarakan kebimbangan terhadap polisi kerajaan yang mengenakan cukai ke atas bantuan bencana dari luar negara kepada mangsa banjir di Sumatera, yang disifatkan boleh menjejaskan kelancaran usaha bantuan kemanusiaan.
Seorang anggota diaspora Indonesia yang menetap di Singapura, Fika, berkata sumbangan dari luar negara diklasifikasikan sebagai barangan import dan tertakluk kepada cukai sekiranya sesuatu bencana belum diisytiharkan sebagai bencana nasional.
Menurutnya, polisi tersebut tidak wajar memandangkan banjir terbaharu di Sumatera telah meragut 969 nyawa serta menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
“Pengenaan cukai ini menyekat inisiatif diaspora untuk membantu secara langsung, sekali gus memaksa sumbangan dibuat dalam bentuk wang semata-mata,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Singapura mengesahkan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk memudahkan penghantaran bantuan mahupun mempengaruhi keputusan kerajaan pusat bagi mengisytiharkan status bencana nasional.
Duta Besar Indonesia ke Singapura, Suryo Pratomo, menasihati komuniti diaspora supaya menyalurkan sumbangan melalui Palang Merah Indonesia atau organisasi sah lain yang diiktiraf kerajaan.
Sementara itu, Direktorat Jeneral Kastam Indonesia masih belum mengeluarkan penjelasan terperinci berhubung pengenaan cukai terhadap bantuan kemanusiaan yang dihantar dari luar negara, dan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan koordinasi dengan agensi berkaitan.
Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi pula menegaskan kerajaan Indonesia mempunyai sumber mencukupi untuk menangani bencana banjir tanpa bergantung kepada bantuan asing.
Beliau berkata, kerajaan memiliki stok makanan dan bahan api yang mencukupi, selain melaksanakan kaedah luar biasa seperti penghantaran udara bagi menyalurkan bantuan ke kawasan terpencil yang terjejas.
Prasetyo turut menegaskan bahawa walaupun sokongan antarabangsa dihargai, kerajaan yakin mampu menguruskan situasi bencana secara dalaman.
Polisi cukai berkenaan terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan diaspora Indonesia yang berhasrat membantu mangsa banjir, namun kini berdepan kekangan peraturan dan kos tambahan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan serta kelancaran penghantaran bantuan kemanusiaan. – Agensi


